Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PAS yakin dapat solat hajat di Wisma Tok Guru esok

PAS Kelantan yakin akan dapat menganjurkan majlis kesyukuran dan solat hajat yang dijadualkan berlangsung di Wisma Tok Guru di Salor, Kota Bharu esok.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah menegaskan beliau juga yakin tiada kejadian tidak diingini berlaku sekiranya terjadi pertembungan dengan penyokong Parti Amanah Negara (AMANAH) di lokasi itu.

“Ini kerana anggota parti dan penyokong sejak awal lagi dilatih dengan suasana harmoni dan terkawal. Mereka akan patuh arahan malah tidak ada program yang dianjurkan (sebelum ini) berlaku perkara yang tidak diingini.

"Insya-Allah program 16 haribulan (esok) akan diteruskan,” katanya kepada media selepas mesyuarat exco di Kota Bharu, hari ini.

Terdahulu Mahkamah Tinggi Malaya di Kota Bharu akan membuat keputusan permohonan injuksi yang dikemukakan Anggota Dewan Undangan Negeri Salor, Datuk Husam Musa terhadap pemilik tanah baru, Mohd Yasin Yusoff.

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Ahmad Bache menetapkan tempoh itu bagi memberi peluang kepada plaintif dan defendan melalui peguam masing-masing membuat tambahan hujahan balas.

Husam yang juga naib presiden AMANAH, melalui injunksinya memohon perintah mahkamah agar Wisma Tok Guru tidak diganggu sehingga status quo pemilikan bangunan berkenaan diputuskan mahkamah hasil perbicaraan bermula 4 Disember ini.

Sementara itu, difahamkan sekiranya keputusan tersebut berpihak kepada Husam, majlis yang dirancang PAS mungkin tidak akan berlangsung di dalam kawasan premis tersebut.

Sebaliknya, rancangan PAS akan diteruskan sekiranya permohonan Husam ditolak.

Sebelum ini, PAS menegaskan notis supaya Husam keluar daripada premis berkenaan sudah tamat pada 12 November lalu dan parti itu akan mengadakan satu majlis kesyukuran serta solat hajat malam esok sebagai meraikan kejayaan mendapatkan semula tanah terbabit.

Isu perebutan tanah itu bermula susulan tanah yang asalnya milik bekas ADUN Salor, Allahyarham Datuk Ahmad Rosli Ibrahim yang dinamakan isterinya sebagai pemilik telah dijual kepada Mohd Yasin yang juga setiausaha kerja PAS Kelantan dengan harga RM700, 000.

Lihat Komen
ADS