Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Wisma Tok Guru: Mahkamah tolak permohonan injunksi Husam

Mahkamah Tinggi Kota Bharu hari ini menolak permohonan injunksi Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Salor Datuk Husam Musa bagi menghalang PAS menggunakan tanah Wisma Tok Guru di Kota Bharu.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Ahmad Bache juga membenarkan PAS mengadakan programnya di situ malam ini.

Ahmad berkata, keputusan itu dibuat setelah mahkamah mengambil kira hujahan kedua-dua pihak dan memberi pertimbangan wajar.

"Dengan itu mahkamah membuat keputusan menolak permohonan plaintif.

"Pada awal lagi mahkamah menasihatkan supaya kedua pihak berunding secara baik," katanya.

PAS merancang mengadakan majlis kesyukuran setelah berjaya membeli bangunan yang digunakan sebagai pusat khidmat wakil rakyat oleh Husam itu.

Husam ialah bekas exco kanan Kelantan dan pernah menjadi naib presiden PAS.

Bagaimanapun krisis dalaman parti itu menyaksikan beliau dipecat daripada PAS pada Mei 2016. Husam kemudian menyertai Parti Amanah Negara dan dilantik menjadi naib presiden pertubuhan berkenaan pada April lalu.

Jamin tiada kekacauan

Husam kemudian menamakan bangunan berkenaan sebagai Wisma Tok Guru sebagai memperingati bekas menteri besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Ahmad berkata, mahkamah turut mengambil kira keterangan daripada pemilik baru tanah itu, Mohd Yasin Yusoff.

Untuk rekod Mohd Yasin kini ialah setiausaha kerja PAS Kelantan.

Kata Ahmad mahkamah mendapati pihak plaintif tidak mempunyai locus standi untuk membenarkan injunksi diterima kerana Husam bukan pemilik tanah terbabit.

"Mahkamah membuat keputusan ini dengan mengambil kira fakta paling penting iaitu defendan (Mohd Yasin Yusoff) adalah pemilik tanah yang sah melalui Kanun Tanah Negara 1965.

"Malah, permohonan ini juga dianggap tidak kukuh kerana plaintif hanya menuntut pampasan terhadap Wisma Tok Guru, bukannya hak pemilikan bangunan terbabit.

"Dengan itu, permohonan injuksi ditolak dengan kos RM7,000 yang dibayar oleh plaintif," katanya.

Tambah Ahmad, pihaknya turut mengambil kira kenyataan Pengerusi AMANAH Kelantan Datuk Wan Abd Rahim Wan Abdullah sebelum ini yang membenarkan PAS untuk menggunakan tanah tersebut bagi tujuan solat hajat.

Akan buat rayuan

Terdahulu, pihak defendan memohon kos sebanyak RM30,000 dibayar plaintif dengan mengambil kira keperluan guaman dan masa sepanjang perbicaraan kes berkenaan.

Sebelum ini, PAS berkata notis pengusiran Husam berakhir pada 12 Nov lalu dan mereka akan mengadakan majlis kesyukuran serta solat hajat malam ini sebagai meraikan kejayaan mendapatkan semula tanah terbabit.

Tanah itu asalnya dibeli bekas ADUN Salor, Allahryarham Datuk Ahmad Rosli Ibrahim dan menamakan isterinya sebagai pemilik. Namun baru-baru ini tanah berkenaan dijual kepada Mohd Yasin pada harga RM700,000.

Sementara itu, peguam utama defendan, Datuk Takiyuddin Hassan, ketika ditemui di luar mahkamah berkata dengan keputusan itu defendan boleh membenarkan sesiapa saja menggunakan tanah yang dipertikaikan untuk sebarang aktiviti, kecuali bangunan yang ada di atasnya.

Katanya isu pemilikan bangunan masih belum diselesaikan.

"Mahkamah juga mengambil pertimbangan bahawa program malam ini sudah mendapat permit polis di bawah Akta Perhimpunan Aman selain plaintif memberi jaminan supaya tiada kekacauan atau provokasi akan ditimbulkan," jelas Takiyuddin yang juga setiausaha agung PAS.

Mengulas keputusan berkenaan peguam Husam yang diketuai Zaidan Ali berkata pihaknya akan mengemukakan rayuan tidak lama lagi.

Lihat Komen
ADS