Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Suhakam gesa majikan dukung hak kebebasan beragama
Diterbitkan:  Nov 17, 2017 12:24 PM
Dikemaskini: 4:30 AM

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) menggesa majikan mendukung kebebasan ekpresi dan hak kebebasan beragama di tempat kerja.

Ini berikutan aduan mengenai pekerja wanita Islam yang dilarang memakai tudung ketika bekerja di hotel.

Pengerusi Suhakam, Tan Sri Razali Ismail dalam satu kenyataan hari ini berkata, meskipun kontrak pekerjaan boleh menetapkan syarat tertentu namun ini tidak bermakna amalan diskriminasi dibenarkan.

"Majikan mempunyai tanggungjawab untuk menyumbang kepada promosi dan perlindungan hak asasi manusia, kontrak pekerjaan harus tegas berdasarkan prinsip kesetaraan dan tiada diskriminasi, sesuai dengan Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan Malaysia," jelasnya.

Razali berkata sebarang sekatan ke atas amalan agama hanya boleh dibuat dalam keadaan tertentu.

"Suhakam menasihatkan bahawa apa-apa batasan hak untuk ekpresi agama atau kepercayaan seseorang di tempat kerja, jika dianggap perlu, mungkin tertakluk hanya dengan batasan seperti yang ditetapkan oleh undang-undang dan perlu untuk melindungi keselamatan, ketenteraman, kesihatan, atau moral orang awam atau hak dan kebebasan asasi orang lain, seperti yang ditetapkan dalam Perkara 18 (3) Kovenan Antarabangsa Mengenai Hak-hak Sivil dan Politik," katanya.

Beliau menggesa majikan menetapkan langkah-langkah yang sesuai untuk menghalang dan menghapuskan semua bentuk sikap tidak bertoleransi, ketidaksamaan dan diskriminasi dalam semua sektor pekerjaan.

Baru-baru ini, Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (Uni-MLC) mendedahkan terdapat pekerja hotel wanita Islam yang bekerja di kaunter hadapan tidak dibenarkan memakai tudung.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim menyifatkan perbuatan itu sebagai pelanggaran hak wanita, sementara Menteri Pelancongan Datuk Seri Nazri Aziz menegaskan larangan itu akan turut memberikan implikasi terhadap lelaki Sikh yang memakai turban.

DAP dan PKR juga mengutuk larangan itu dengan menawarkan bantuan undang-undang kepada pekerja berkenaan.

Lihat Komen
ADS