Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Malaysia unjur KDNK berkembang 5.2 hingga 5.7 peratus
Diterbitkan:  Nov 17, 2017 4:02 PM
Dikemaskini: 8:05 AM

Malaysia mengunjurkan keluaran dalam negara kasar (KDNK) berkembang antara 5.2 dan 5.7 peratus tahun ini, sebahagian besarnya disokong oleh sektor eksport yang positif dan permintaan dalam negeri, kata Gabenor Bank Negara Malaysia Tan Sri Muhammad Ibrahim.

“Angkanya nampak baik, dengan sektor eksport menunjukkan pertumbuhan dua angka, dan kami benar-benar berharap ada kejutan yang menyenangkan tahun ini,” katanya pada sidang media susulan penyiaran laporan ‘Perkembangan Ekonomi dan Kewangan di Malaysia bagi Suku Ketiga 2017.

Muhammad, bagaimanapun mengingatkan negara harus mengambil kira prestasi luaran, yang bukan sahaja memberi impak kepada Malaysia, malah seluruh dunia.

Keputusan suku ketiga menunjukkan KDNK berkembang pada tahap yang lebih cepat pada 6.2 peratus berbanding 4.3 peratus pada suku yang sama tahun lepas, hasil sokongan permintaan domestik, terutama perbelanjaan sektor swasta.

Bagi bekalan, peningkatan direkodkan dalam semua sektor– perkhidmatan, perkilangan, pelombongan, pertanian dan pembinaan.

Bagi sektor luaran, beliau berkata eksport akan terus mendapat manfaat daripada keadaan permintaan global yang menggalakkan manakala inflasi mencatat purata pada tahap 3-4 peratus bagi keseluruhan 2017.

“Tahun ini, kami menjangkakan inflasi masih pada tahap 3-4 peratus, bergantung kepada kedudukan harga minyak dunia," katanya sambil menambah inflasi telah menyederhana kepada 3.8 peratus, terutama disebabkan inflasi pengangkutan yang lebih rendah.

Ditanya mengenai tekanan berterusan ke atas kos hidup yang dihadapi rakyat, Muhammad berkata bank pusat mengambil maklum bahawa rakyat tidak merasakan pertumbuhan (ekonomi).

Beliau menjelaskan rakyat tidak merasakan pertumbuhannya disebabkan tekanan hidup berterusan, terutama yang dihadapi kumpulan isi rumah berpendapatan bawah 40 peratus (B40).

"Kebimbangan kami lebih kepada kedudukan secara keseluruhan, termasuk mewujudkan dasar ekonomi yang lebih baik yang mewujudkan pekerjaan yang menawarkan gaji yang lebih baik dalam industri," katanya.

Mengenai pelaburan langsung asing (FDI), Muhammad berkata Malaysia perlu mengkaji faktor yang boleh membantu menjana lebih banyak pendapatan kepada negara, selain lebih kompetitif dan pada masa yang sama menambah nilai kepada sektor tertentu.

Pada suku ketiga, akaun kewangan mencatatkan aliran keluar bersih sebanyak RM1.2 bilion dengan aliran masuk FDI jangka panjang yang lebih tinggi dan aliran masuk dana asing yang berterusan ke dalam aset portfolio domestik diimbangi oleh pelaburan portfolio di luar negara pemastautin serta aliran keluar yang berpunca dariada operasi mudah tunai dan operasi pengurusan perbendaharaan bank.

Akaun pelaburan langsung kembali pulih dan mencatat aliran masuk bersih sebanyak RM6.2 bilion (S2 2017: aliran keluar bersih RM7.1 bilion), dengan aliran masuk mengimbangi pengaliran keluar.

FDI meningkat kepada RM11.2 bilion terutama disebabkan suntikan modal ekuiti yang lebih tinggi dan pelaburan semula pendapatan daripada syarikat-syarikat nduk.

Aliran masuk tu disalurkan kepada subsektor aktiviti hartanah, diikuti sektor perlombongan dan pembuatan.

Malaysia mencatatkan pertumbuhan KDNK 5.8 peratus pada Q2 dan 5.6 peratus pada Q1.

- Bernama

Lihat Komen
ADS