Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Johor kaji punca hartanah rumah tak terjual'

Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata permasalahan itu pada awalnya mungkin disebabkan dasar kerajaan pusat pada 2015 yang menetapkan hanya rumah berharga RM1 juta dan ke atas boleh dijual kepada warga asing.

Kerajaan negeri Johor akan mengkaji punca dan faktor sebenar yang menyumbang kepada permasalahan banyak unit rumah di negeri ini tidak terjual.

Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata permasalahan itu pada awalnya mungkin disebabkan dasar kerajaan pusat pada 2015 yang menetapkan hanya rumah berharga RM1 juta dan ke atas boleh dijual kepada warga asing.

“Sebelum ini, orang asing boleh beli rumah RM500,000. Jadi, apabila ia (rumah) sudah siap, dia (pembeli asing) terperangkap dengan dasar kerajaan pusat.

“Tetapi, kita akan ambil perhatian apa yang Bank Negara katakan. Kita akan cari puncanya sama ada dari segi sistem pengagihan, nama pembeli lambat diluluskan kerajaan atau mungkin kelulusan bank lambat dan sebagainya. Itu semua kita akan kaji,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan majlis Pecah Tanah Sekolah Agama Kerajaan Johor (SAKJ) di Sekolah Kebangsaan Taman Bukit Dahlia, Pasir Gudang, di Johor Bahru, hari ini.

Unit rumah terbesar tak terjual

Mohamed Khaled diminta mengulas laporan sebuah portal semalam, yang memetik Buletin Suku Tahunan Bank Negara Malaysia, bahawa Johor mempunyai jumlah unit kediaman terbesar tidak terjual iaitu sebanyak 27 peratus berbanding Selangor (21 peratus), Kuala Lumpur (14 peratus) dan Pulau Pinang (8 peratus).

Beliau berkata kerajaan negeri telah lama membekukan pembinaan rumah pangsapuri perkhidmatan sejak 2014 setelah melihat kesan dan implikasinya yang mungkin tidak terjual.

“Bagaimanapun, ada pemaju yang berkemampuan masih ingin membina rumah jenis itu kerana mungkin berdaya menanggung kerugian sekiranya rumah itu tidak terjual,“katanya.

Mohamed Khaled berkata beliau berharap syarikat-syarikat pemaju akan mempertimbang pembinaan rumah mampu milik pada masa depan khususnya di Johor Bahru kerana kediaman jenis itu, pasti akan habis dijual ekoran harganya yang berpatutan iaitu di antara RM40,000 hingga RM80,000.

Mengenai majlis berkenaan, Mohamed Khaled berkata ia adalah di antara 30 SAKJ yang akan dibina bermula awal tahun depan membabitkan peruntukan keseluruhan sebanyak RM257 juta.

Dijalankan di bawah fasa kelima pembangunan SAKJ, sekolah itu mempunyai reka bentuk lebih moden serta 12 bilik darjah yang dilengkapi pelbagai kemudahan termasuk dewan terbuka, dewan peperiksaan dan ruang kelas yang lebih kondusif.

 

-Bernama
 

Lihat Komen
ADS