Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Zahid nafi campur tangan kelewatan pendaftaran HARAPAN

PARLIMEN |  Segala keputusan berhubung pendaftaran gabungan Pakatan Harapan (HARAPAN) tertakluk kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS), kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Malah, menteri dalam negeri itu berkata beliau tidak sama sekali campur tangan dalam perkara tersebut yang sehingga kini masih gagal didaftarkan sebagai satu gabungan.

"Biar pun ROS dibawah KDN tetapi saya tidak meletakkan tangan saya dalam mereka membuat cadangan untuk menerima atau sebaliknya terhadap permohonan Pakatan Harapan," kata Ahmad Zahid dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Membanteras Gejala Dadah (JKMD) di Parlimen hari ini.

Pertemuan Dr Mahathir, HARAPAN dan KDN

Zahid yang juga timbalan perdana menteri berkata demikian mengulas pertemuan Pengerusi HARAPAN Tun Dr Mahathir Mohamad dengan Ketua Setiausaha, Kementerian Dalam Negeri, Datuk Seri Alwi Ibrahim pagi tadi.

Bagaimanapun, dalam pertemuan itu Mahathir diberitahu gabungan parti berkenaan belum diluluskan disebabkan masalah yang dihadapi DAP dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Hadir bersama beliau ialah Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) Mohamad Sabu, Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan pemangku Pengerusi DAP, Tan Kok Wai.

“Kami tidak ada niat untuk bantah atau timbulkan masalah kepada kerajaan. Apa sahaja kehendak kerajaan yang tidak langgar undang-undang, akan kami patuhi,” kata bekas perdana menteri itu.

Mengulas lanjut kelewatan pendaftaran HARAPAN, Ahmad Zahid berkata beliau tidak berhajat untuk campur tangan dalam soal parti pembangkang itu kerana ia lebih kepada soal prosedur pendaftaran.

"Elok saya tidak menjawab sebab itu soal prosedur (operational), KSU pun ada di sini biar KSU jawab.

"Saya tak berhajat untuk campur tangan soal dalaman parti berkenaan," tegas Ahmad Zahid.

Tambah Zahid, pembangkang boleh membuat sebarang spekulasi berhubung isu kelewatan pendaftaran namun beliau menegaskan ia tidak pernah dipolitikkan.

"Itu terpulang kepada mereka untuk buat penilaian, tapi saya sangat profesional dan serahkan semuanya kepada KSU dan ROS untuk buat keputusan," tegas Ahmad Zahid.

Ketua setiausaha KDN (gambar, atas) menegaskan perkara yang sama dengan menteri.

"Seperti yang disebutkan oleh TPM, kita ada peruntukan undang-undang dan juga parti-parti berkenaan ada perlembagaan jadi mereka perlu patuhi prosuder pendaftaran pertubuhan dan pada masa yang sama mereka juga perlu mematuhi perlembagaan yang ada dalam parti masing-masing.

"Itu yang penting seperti yang disebutkan oleh TPM tadi, dua perkara yang perlu diselesaikan segera oleh DAP dan BERSATU bagi kita mengambil tindakan selanjutnya mengikut proses pendaftaran dan dengan itu barulah kita ambil tindakan selanjutnya," tegas Alwi.

Sebelum ini, ROS pernah memberi amaran kepada BERSATU atas dakwaan melakukan tiga kesalahan.

Kesalahan itu adalah tidak mengadakan mesyuarat agung tahunan, menubuhkan sayap pemuda dikenali sebagai ARMADA dan menangguhkan mesyuarat agung tanpa peruntukan dalam perlembagaan parti sehingga boleh menyebabkan parti itu dibatalkan.

Masalah DAP pula berkaitan pemilihan semula Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) sebelum ini yang didakwa tidak sah sehingga memaksa parti itu terpaksa mengadakannya semula, baru-baru ini.

Lihat Komen
ADS