Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bapa bunuh anak, gantung diri disyaki diganggu ah long
Diterbitkan:  Nov 21, 2017 12:07 PM
Dikemaskini: 4:25 AM

Seorang bapa yang disyaki membunuh ketiga-tiga anaknya dan menggantung diri di Sungai Petani semalam dipercayai melakukan perbuatan itu akibat gangguan daripada ah long, lapor akhbar harian Tamil, Makkal Osai hari ini.

Terdahulu dilaporkan bahawa S Sivarau, 49, seorang kontraktor, menghadapi masalah kewangan.

Sivarau ditemui di bilik atas rumah dua tingkat di Perdana Heights, Amanjaya, manakala anak perempuannya Yamuna Sri,8 serta dua anak lelaki Raghuram Rau, 6 dan Sashvin Rau,5 ditemui mati di katil dalam bilik yang sama, dipercayai ditekup dengan bantal.

Isteri Sivarau, V Kamini, juga menggantung diri di bilik yang sama, tiga minggu lalu.

Ibu Kamini, S Punitha, mengatakan dia tinggal di rumah dengan menantunya sejak anak perempuannya membunuh diri untuk membantu menjaga anak-anaknya.

"Kali terakhir saya temui mereka semasa makan malam pada hari Ahad dan selepas itu, dia pergi ke biliknya di tingkat atas.

"Sekitar pukul 5 pagi semalam, saya mendengar cucu saya menjerit dan ketika saya tanya mengapa, Sivarau kata dia hanya mengalami mimpi buruk dan semuanya baik-baik saja," kata Punitha.

Tidak mengesyaki sebarang kejadian buruk, dia melakukan kerja-kerja rumah seperti biasa dan hanya mengetahui kejadian itu selepas mereka tidak turun untuk makan tengah hari. 

Akhbar itu melaporkan bahawa siasatan awal mendapati gangguan dari ah long mungkin menjadi sebab mengapa Sivarau mengambil tindakan drastik sedemikian.

Serupa kejadian di Johor Bahru

Kejadian itu serupa dengan yang berlaku di Taman Mutiara Rini, Johor Bahru pada 6 Oktober lalu di mana seroang peniaga membunuh isterinya dan dua anaknya, sebelum membunuh diri.

R Pubalan, 52, ditemui tergantung dengan kain di atas siling dalam bilik tidur rumah teres dua tingkat.

Manakala isterinya, P Jeya, 46, ditemui mati di atas katil di ruang tamu di tingkat bawah. Dia dikatakan menghadapi penyakit buah pinggang untuk tempoh masa yang lama dan menjalani hemodialisis.

Anak-anak pasangan terbabit, P Sharveen, 14 dan Krishaa Priteena, 9 didapati terbaring di bilik tidur lain dipercayai akibat dicekik.

Pubalan juga dilaporkan menghadapi masalah kewangan dan perniagaan serta tidak mampu menanggung perbelanjaan rawatan isterinya.

Malay Mail melaporkan tiga hari sebelum kejadian, Pubalan dipercayai telah diganggu oleh ah long.

Lihat Komen
ADS