Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Panau, Datuk Abdul Fattah Mahmood menegaskan gejala penagihan dadah tidak mengenal sesiapa termasuk sama ada anak ahli PAS atau Umno.

Beliau yang juga exco kerajaan tempatan, perumahan, belia dan sukan menjelaskan kesukaran dialami bagi menjalankan tanggungjawab sebagai naib presiden Kelab Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) apabila tidak dibenarkan hadir ke program pencegahan dadah di sekolah-sekolah.

"Dadah tak kenal anak siapa, tak kenal anak orang PAS atau Umno.

"Sebab itu saya sebut dalam dewan, sebagai naib presiden PEMADAM pun saya tak boleh masuk dalam sekolah.

"Pengetua sekolah terus dipanggil (PPD) Pejabat Pendidikan Daerah, sedangkan kita pinjam bilik untuk buat kursus kepada penghulu," katanya ketika menjawab soalan ADUN Paloh, Datuk Nozula Mat Diah dalam Persidangan DUN Ke-13 di Kota Bharu, hari ini.

Pada 19 November lalu, ADUN Salor Datuk Husam Musa mencuri tumpuan apabila tampil mengakui anaknya ditahan bersama 200 pil kuda di hadapan sebuah rumah di Jalan Pasir Mas-Salor Kampung Jelutong di Kita Bharu.

Suspek berusia 29 tahun itu ditahan sepasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis (IPD) Daerah Kota Bharu kira-kira jam 3.30 petang dam direman selama empat hari berakhir Rabu ini

Walau bagaimanapun tidak pasti sama ada Abdul Fattah merujuk kepada kes seteru politik PAS, AMANAH apabila membangkitkan isu berkenaan.

Terdahulu, Nozula meminta kerajaan negeri menjelaskan peranan dan langkah yang diambil dalam membantu pihak polis dalam membanteras gejala penagihan pil kuda di Kelantan.

Susulan itu ADUN Ayer Lanas, Datuk Seri Mustapa Mohamed mengemukakan soalan tambahan dan cadangan supaya PAS dan Umno bekerjasama merancangan program pencegahan dadah di negeri itu.

Abdul Fattah berkata, kerajaan negeri sedia bekerjasama dengan Kerajaan Pusat bagi menangani masalah penyalahgunaan dadah terutama pil kuda di negeri ini.

Beliau berkata, pelbagai program termasuk peringkat sekolah dilaksanakan melalui PEMADAM bagi memberi kesedaran kepada masyarakat supaya bebas daripada gejala dadah.

"Selain program, kerajaan negeri juga menubuhkan pusat pemulihan Baitul Taubah di Pasir Puteh sejak 2008 dan sudah mengeluarkan seramai 1,000 anak bina (yang diberi pelbagai latihan dan kemahiran seperti pertukangan, penyernakan, masakan)," katanya.

Sementara itu, Seramai 279 pelajar termasuk empat perempuan sekolah menengah di negeri ini didapati positif mencuba dadah menerusi hasil ujian air kencing yang dijalankan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), tahun ini, kata Exco Pembangunan Insan, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan.

Menurutnya, statistik itu diperoleh daripada AADK menerusi program ujian air kencing bersama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan terhadap 4,148 pelajar daripada 164 sekolah menengah di negeri ini.

Daripada jumlah itu juga katanya, seramai 18 pelajar lelaki ditahan polis kerana didapati positif dadah.

"Untuk pengetahuan, pelajar sekolah yang didapati positif dadah tidak dianggap penagih dadah kerana mereka di peringkat mencuba yang dikenalpasti disebabkan pengaruh rakan sebaya.

"Memandangkan bidang kuasa kerajaan negeri terhad bagi menangani isu dadah terutama membabitkan pil kuda di negeri ini, kita sedia kerjasama dengan semua pihak termasuk agensi keselamatan," katanya.

Lihat Komen
ADS