Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
K'jaan cukup pakar tangani pencerobohan data

Kementerian Komunikasi dan Multimedia mempunyai kumpulan pakar dan peralatan yang mencukupi untuk menyemak jika data peribadi orang ramai diceroboh atau terjejas.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Jailani Johari hari ini berkata orang ramai boleh merujuk agensi kementerian seperti Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP), jika menyedari maklumat peribadi mereka telah dibocorkan.

“Kami mempunyai agensi dipanggil Jabatan Perlindungan Data Peribadi, yang mengetengahkan garis panduan untuk soal data, iaitu pengguna data itu sendiri dan satu lagi, penyedia perkhidmatan,” beliau memberitahu wartawan selepas melancarkan Forum Saling Hubung dan Akses Dunia 2017, di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau berkata tanggungjawab utama JPDP ialah menguatkuasakan dan mengawal perlindungan data peribadi di Malaysia dan menumpukan kepada pemprosesan data peribadi di dalam transaksi komersial dan mengelakkan penyalahgunaan data peribadi.

Jailani berkata demikian apabila ditanya sama ada kerajaan akan menyediakan sebuah portal rasmi untuk membantu rakyat Malaysia memeriksa sama ada maklumat peribadi mereka sudah terdedah, sama seperti laman sesawang sayakenahack.com yang dibangunkan oleh blogger, Keith Rozario.

Menurut laporan sebuah portal berita tempatan, pada Khamis lepas, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menyekat sayakenahack.com berikutan permohonan daripada JPDP di bawah Seksyen 130 Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 kerana mengumpul data peribadi secara tidak.

Jailani berkata selain daripada JPDP, MCMC selaku agensi yang mengawal selia internet di negara ini dan laman sesawang kementerian untuk menyemak kesahihan berita, Sebenarnya.my, sudah memadai untuk memenuhi keperluan berkenaan keselamatan siber.

Sementara itu, berkenaan Forum Saling Hubung dan Akses Dunia 2017, beliau berkata forum ini menghimpunkan pakar industri dan ahli akademik untuk berkongsi pengetahuan dalam perkara akses dan saling hubungan selain menyediakan satu lagi peluang untuk perbincangan mengenai teknologi, keusahawanan dan perniagaan.

Beliau berharap forum ini akan mengukuhkan industri di Malaysia, ASEAN dan dunia.

 

-Bernama

Lihat Komen
ADS