Paling Popular
Terkini

PARLIMEN | Kerajaan akan bertindak terhadap AirAsia yang didakwa mengenakan tambang mahal ketika waktu kemuncak, Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Aziz Kaprawi memberitahu Dewan Rakyat hari ini.

Hal ini selepas Datuk Bung Mokhtar Radin (BN-Kinabatangan) mengadu tentang syarikat penerbangan tambang murah itu mengenakan harga RM 2,000 untuk tiket sehala dari Sandakan ke Kuala Lumpur.

"Yang ini saya tadi telah bincang dengan Malaysian Aviation Commission (Mavcom) untuk ambil tindakan sewajarnya supaya tidak berlaku profiteering oleh AirAsia, dalam mengambil kesempatan apabila peak hour.

"Ini akan jejaskan segmen ekonomi masyarakat," kata Aziz.

"Ada sampai RM2,000 kah?" Beliau bertanya ketika menggulung perbahasan Bajet 2018 peringkat jawatankuasa di Parlimen.

Kerajaan bercadang untuk meminda Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia 2015 bagi membolehkan Mavcom selaku pengawal atur penerbangan awam bagi mengendalikan aduan berkaitan pelbagai jenis bayaran yang dikenakan oleh syarikat-syarikat penerbangan.

Awalnya, Bung mendakwa beberapa orang kampung beliau tidak mampu untuk membeli tiket AirAsia dan beliau perlu menampung perbelanjaan mereka.

"Nasib saya ada, orang kampung yang kenal mengadu tidak ada duit, saya berikan sedikit duit. Nasib saya ada," kata Bung Moktar.

"Seharusnya kerajaan lihat, kalau penerbangan tambang murah buatlah cara tambang murah. Jangan penerbangan murah, (tambang) Sandakan ke KL berjumlah dua ribu ringgit," keluh beliau.

Tidak beri markah

Menurut Bung Moktar penumpang terpaksa membeli tiket lain jika mereka lambat untuk berlepas.

"Yang lewat 10 minit lambat untuk ke kaunter, memang 'selesai', dia makan itu duit, dia suruh beli tiket baru," katanya.

"Saya tidak tahu macam mana dia boleh dapat penerbangan best in the world berturut-turut, kalau saya yang beri rating, saya tidak beri langsung markah," kata beliau kesal.

Semakan di laman AirAsia mendapati penumpang perlu membayar di antara RM700 ke RM1,000 bagi penerbangan sehala Sandakan ke Kuala Lumpur pada bulan ini.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS