Anggota parlimen Kuala Terengganu Datuk Raja Kamarul Bahrin Raja Ahmad mendakwa Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Nazri Abdul Aziz menyeleweng kenyataannya berhubung isu larangan bertudung bagi pekerja kaunter hadapan hotel.
Raja Bahrin berkata, Nazri semalam menggambarkan seolah-olah beliau bersetuju dengan polisi hotel antarabangsa melarang pekerja hotel menutup aurat.
“Saya secara peribadi tidak setuju tentang larangan tersebut. Dalam masa yang sama saya percaya isu ini elok di selesaikan dengan perbincangan tanpa menjejas hak pekerja Islam mematuhi kewajipan agama mereka.
“Saya tidak pernah menyebut kita harus compromise atau tolak ansur perintah agama,” kata Raja Bahrin dalam sidang media di parlimen hari ini.
Nazri semalam menolak rundingan dan kompromi dalam isu larangan bertudung kerana hak itu dijamin dalam perlembagaan.
Berita Harian melaporkan Raja Bahrin dalam perbahasannya mencadangkan supaya rundingan diadakan antara kementerian dengan Persatuan Hotel Malaysia (MAH) berhubung isu itu demi kepentingan umat Islam.
Raja Bahrin hari ini menjawab Nazri harus membaca keseluruhan teks ucapan beliau dan tidak mempolitikkan isu tersebut.
"Saya mohon menteri baca keseluruhan ucapan saya dan jangan emosi dan politikkan isu ini.
"Islam membenarkan dan menggalakkan perbincangan ke arah kebaikan," tambah Raja Bahrin.
Sementara itu, Raja Bahrin juga berkata tiada sebab untuk Nazri mempersoalkan pendiriannya dalam mempertahankan Islam.
"Saya bukan jaguh kampung dalam isu agama Islam dan kalau saya sanggup mempertahankan Islam di negara asing, di Malaysia saya tidak mengubah pendirian saya.
"Saya pernah memperjuangkan hak Islam di negara asing dalam isu akidah dan peristiwa hak penjagaan anak saya pada tahun 1992 lagi dan membawa mereka pulang ke Malaysia.
"YB Datuk Nazri yang pernah menjadi menteri undang-undang patut lebih arif dan mengetahui isu ini," kata Raja Kamarul Bahrin.
Dua puluh lima tahun lalu, Raja Bahrin pernah terlibat dalam kes perebutan anak dengan bekas isteri warganegara Australia Jacqueline Pascarl-Gillespie.
Raja Bahrin, kerabat diraja Terengganu yang ketika itu menjadi seorang jurutera, kemudian bertindak nekad melarikan dua anaknya yang masih kecil menggunakan jalan laut daripada Melbourne, Australia.
Raja Bahrin berkata bertindak demikian bagi mempertahankan akidah anaknya kerana bekas isterinya telah keluar Islam selepas mereka bercerai.
Kes itu berjaya meruntun hati rakyat Malaysia, khususnya yang beragama Islam. Tindakan beliau itu bagaimanapun mengundang kritikan media Negara Kanggaru.
