Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Cadangan tudung untuk pramugari MAS perlu dibincang'
Diterbitkan:  Nov 23, 2017 9:33 PM
Dikemaskini: 1:42 PM

Cadangan kerajaan untuk membenarkan pramugari Malaysia Airlines (MAS) memakai tudung memerlukan lebih banyak perbincangan dengan semua pihak, kata Kesatuan Kebangsaan Anak Kabin Penerbangan Malaysia (Nufam) hari ini.

Dalam satu kenyataan, Nufam berkata banyak aspek lain perlu diambil kira sebelum dasar tersebut dilaksanakan.

"Bagaimana dengan AirAsia X atau Malindo Air, apakah syarikat penerbangan itu akan mengikutinya? Apa yang berlaku jika tidak? Kita tidak boleh melaksanakan (dasar) kepada satu syarikat penerbangan saja, sementara yang lain tak ikut.

"Seperti yang kita ketahui, sesetengah syarikat penerbangan tidak akan melaksanakannya, kerana mereka akan mendakwa ia akan menjejaskan perniagaan.

"Kecuali kerajaan serius bersedia untuk melaksanakan perubahan serta merta terhadap semua syarikat penerbangan, maka syarikat penerbangan itu tidak akan mempunyai pilihan selain mematuhinya," kata Nufam.

Kenyataan itu timbul susulan cadangan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Nazri Abdul Aziz semalam bahawa pramugari beragama Islam dari MAS harus dibenarkan memakai tudung.

Memakai tudung juga harus sesuai dengan imej syarikat penerbangan itu dan persekitaran kerja, kata Nufam.

"Kita tidak boleh meminta kru memakai tudung dengan memakai kebaya yang ketat atau skirt ketat. Itu tak akan kelihatan betul.

"Walaupun memakai tudung adalah cadangan yang baik untuk kakitangan beragama Islam, adakah kerajaan mengarahkan syarikat penerbangan untuk menukar dasar seragam mereka?

"Adakah syarikat-syarikat penerbangan ini bersedia untuk mengeluarkan wang untuk menukar pakaian seragam mereka?

"Semua cadangan ini memerlukan perbincangan yang lebih serius," jelasnya.

Lihat Komen
ADS