Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
Menteri akui rumah RM250,000 ke atas tak terjual

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Tan Sri Noh Omar mengakui banyak rumah berharga RM250,000 ke atas tidak terjual menyebabkan lebihan penawaran.

Beliau bagaimanapun menyalahkan pemaju kerana membina lebih banyak unit rumah mahal berharga di atas RM250,000.

“Jadi memang kalau kajian dibuat rumah RM250,000 ke bawah mudah dijual. Tetapi yang banyak tak terjual rumah RM250,000 ke atas," katanya pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Pusat Dagangan Dunia Putra Kuala Lumpur, hari ini.

Menurut Noh, pemaju perlu membantu hasrat kerajaan menyediakan rumah mampu milik memandangkan RM2.7 bilion telah dibelanjakan bagi tujuan itu setakat ini.

Beliau mengulas kenyataan Anggota Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin mengenai harga "rumah mampu tengok” di Kuala Lumpur yang tidak mampu dimiliki rakyat berpendapatan rendah.

Noh bagaimanapun enggan mengulas dakwaan Bung bahawa program Perumahan Rakyat 1Malaysia atau PR1MA tersasar daripada matlamat asal dengan alasan ia bukan di bawah bidang kuasa beliau.

“PR1MA bukan bawah saya. Pergi tanya Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim. Projek Perumahan Rakyat (PPR) saya jawab,” katanya.

Sementara itu Noh berkata semua projek pembangunan mewah di ibu kota yang telah diluluskan akan diteruskan selepas perkara itu dibincang pada mesyuarat kabinet.

Arahan itu juga termasuk projek pembinaan lain seperti pusat beli-belah dan ruang pejabat.

Bagaimanapun katanya, rumah berharga RM1 juta akan dihentikan terlebih dahulu memandangkan banyak unit yang tidak terjual.

"Jadi hanya mana yang dah diluluskan, kita kata tak apalah kita boleh teruskan tapi yang projek-projek yang baru ni kena berhentikan dulu," katanya.

Beliau menjawab soalan sama ada projek pembangunan di Taman Tun Dr Ismail dan Taman Desa antara pembangunan hartanah mewah di Kuala Lumpur yang akan ditangguhkan.

Sabtu lalu, Gabungan Lindungi Taman Desa membantah pembangunan berlebihan di kawasan itu yang didakwa mengancam kualiti kehidupan mereka.

Selain itu, penduduk di kawasan perumahan Taman Tun Dr Ismail juga menentang projek yang dikhuatiri menyebabkan kesesakan di kejiranan mereka dan mengorbankan kawasan hijau di Taman Rimba Kiara dan Bukit Kiara.

Untuk rekod, kedua-dua projek tersebut telah diluluskan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan diserahkan kepada pemaju swasta.

Lihat Komen
ADS