Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Kerajaan ikhlas tapi pihak ditugaskan 'tidak mengerti'

Kerajaan ikhlas untuk menyelesaikan isu kerakyatan kaum India, tetapi pihak-pihak yang ditugaskan untuk tujuan itu 'tidak mengerti', kata penyelaras pasukan petugas khas pelaksanaan MyDaftar, kata Datuk N Siva Subramaniam.

Bercakap kepada Malaysiakini baru-baru ini, Siva mengambil contoh satu majlis yang dianjurkan oleh unit khas yang ditubuhkan untuk menyelesaikan isu itu, yang dihadiri oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan timbalannya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, atas sifatnya sebagai menteri dalam negeri.

"Poster itu digantung di majlis itu memaparkan wajah (bekas menteri dalam negeri) Datuk Seri Hishammuddin Hussein, bukannya Zahid. Nasib baik, Zahid tidak terkilan dengan kesilapan itu," katanya.

Siva (foto, atas) juga mengeluh bahawa tiada panduan diberikan kepada mereka yang memohon untuk dokumentasi, dan tidak ada susulan oleh pihak-pihak yang berkenaan terhadap permohonan itu.

"Apabila saya duduk di majlis itu, pemohon datang kepada saya dan bertanya 'Saya ada borang, apa yang saya kena buat?'

"Ini bermakna bantuan yang diberikan kepada mereka (untuk mendapatkan dokumentasi) hanya di (tahap) permukaan, dan tidak menyeluruh," katanya.

Bagaimanapun, Siva percaya bahawa tanggungjawab untuk menyelesaikan masalah itu tidak hanya terletak di bahu kerajaan.

Menurut beliau, sekolah dan guru - terutama di sekolah Tamil - boleh memeriksa sama ada murid-murid mereka mempunyai dokumen yang sah, dan jika tidak ada, bawa kes-kes itu kepada pihak-pihak yang berkaitan.

"Kanak-kanak tanpa dokumen yang sah adalah yang paling membimbangkan dalam isu ini. Ia boleh menghalang mereka mendapat pendidikan yang baik, dan peluang untuk menjalani kehidupan yang lebih baik pada masa depan.

"Saya baru-baru ini mengadakan ceramah di sebuah sekolah Tamil di Batu Caves, dan adalah mengejutkan bila mengetahui terdapat sekurang-kurangnya 300 kanak-kanak yang menghadapi isu dokumentasi. Sebuah lagi sekolah di Klang mempunyai 350 kes.

"Saya mendapat tahu bahawa kawasan Hulu Selangor mempunyai ramai kaum India, termasuk kanak-kanak, yang mempunyai masalah seperti itu.

"Di sinilah di mana P Kamalanathan (foto, bawah), sebagai ahli Parlimen, dan timbalan menteri pelajaran, boleh memainkan peranan dalam menangani perkara itu."

Siva menambah bahawa terdapat jumlah yang membimbangkan kanak-kanak dengan masalah dokumentasi di rumah anak yatim di seluruh negara.

Meningkatkan kesedaran

Individu juga boleh dipersalahkan dalam isu tersebut, kata Siva.

"Terdapat beberapa individu yang tidak peduli untuk mendapatkan sijil kelahiran untuk anak-anak mereka yang baru lahir, atau menukar kad pengenalan anak-anak mereka kepada yang baru ketika mencapai usia 12 tahun.

"Terdapat kanak-kanak yang dilahirkan oleh ibu bangsa asing dan bapa orang tempatan, yang mempunyai isu dokumentasi, memandangkan sistem negara mengutamakan kewarganegaraan ibu," katanya.

Tahap rendah literasi di kalangan penduduk India di luar bandar dan kemiskinan turut menjadi faktornya, kata beliau.

"Ramai orang tidak menyedari betapa pentingnya dokumen yang betul untuk mengesahkan mereka adalah warganegara negara."

"Mungkin penyebaran maklumat ini perlu dilakukan dengan lebih baik, supaya mesej itu dapat disampaikan kepada kumpulan sasaran.

"Selalunya, kita dengar iklan kedai emas di stesen radio Tamil, yang secara meluas didengar oleh kaum India di kawasan luar bandar, ladang dan dalam kumpulan B40 ini. Berapa ramai daripada mereka mampu untuk berbelanja membeli barang kemas sedangkan mereka bergelut untuk hidup?

"Kenapa tidak boleh maklumat yang berguna, seperti inisiatif kerajaan untuk membantu mengatasi masalah yang mereka hadapi, disiarkan?" tanya beliau.

Beliau juga tidak dapat menentukan jumlah sebenar kaum India dengan masalah dokumentasi, yang merupakan titik perselisihan antara kerajaan dengan ahli parlimen pembangkang.

Ini kerana apabila satu masalah diselesaikan, timbul pula masalah lain, katanya.

Walaupun demikian, Siva memuji Jabatan Pendaftaran Negara kerana melakukan tugas dengan cemerlang dalam mengendalikan isu kerakyataan kaum India.

"Mereka mempunyai pegawai yang sangat cemerlang. Mereka begitu sabar, dan melayani pemohon dengan sangat baik, dan selalunya, kes-kes itu dapat diselesaikan."

Tetapi Siva percaya penambahbaikan masih boleh dilakukan.

Satu daripadanya ialah untuk pegawai JPN turun untuk mengetahui keadaan sebenar dan mendaftarkan pemohon, dan bukannya menunggu pemohon, yang mungkin mempunyai masalah pengangkutan untuk datang ke pejabat JPN.

Ia juga akan membantu sekiranya lebih ramai pegawai dari kalangan kaum India atau yang boleh bertutur dalam bahasa Tamil ditempatkan di JPN dan kementerian dalam negeri untuk mengatasi halangan bahasa, katanya.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS