Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
Kata pelajar 'slow learner' masuk UiTM, BERSATU kecam Ku Nan
Diterbitkan:  Nov 26, 2017 11:22 PM
Dikemaskini: 3:32 PM

Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) mengecam kenyataan Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Mansor yang menyifatkan Universiti teknologi Mara (UiTM) sebagai tempat mereka yang kurang cemerlang dalam pelajaran.

Ketuanya Syed Saddiq Syed ABdul Rahman berkata, kenyataan itu ternyata menghina universiti yang telah banyak menyumbang kepada negara, serta ratusan ribu graduannya.

"Ini merupakan penghinaan kepada pelajar yang menuntut di UiTM.

"Pengorbanan ratusan ribu graduan inilah yang banyak mencurahkan jasa dan bakti untuk membangunkan negara," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tengku Adnan membuat kenyataan itu ketika menekankan sumbangan Umno kepada pelajar, ketika berucap di majlis Anugerah Nadi Negara 2017 di Kuala Lumpur semalam.

"Anda dapat masuk universiti, kalau 'slow learner' (boleh) masuk ITM (UiTM). Kadang kala kalau tak dapat markah (secukupnya), markah akan diturunkan agar anda boleh masuk universiti.

"Ada kala kalau tak boleh masuk (universiti) di Malaysia, kita hantar ke luar negara. (Bila) Balik, tunjuk pandai dan marah Umno," katanya yang dikenali dengan panggilan Ku Nan.

Syed Saddiq berkata kenyataan seperti itu tidak sepatutnya datang daripada seorang menteri.

Malah, katanya lagi, kenyataan itu menambah lagi tanggapan segelintir pihak yang memandang rendah kepada UiTM, walaupun institusi itu mencatat  banyak kejayaan.

Antaranya, beliau berkata UiTM mendapat kedudukan ketiga bagi universiti di Malaysia dalam Laporan Penarafan Kebolehpasaran Graduan Dunia 2018 oleh badan antarabangsa Quacquarelli Symonds.

"Ku Nan sebagai menteri sepatutnya membantu mereka, bukannya mengeruhkan lagi keadaan. Kami mendesak beliau menarik balik kenyataan dangkal itu," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS