PKR membangkitkan tujuh persoalan berkaitan pengendali Skim Sekatan Perkhidmatan Selular Awam (PCBS), Nuemera Sdn Bhd.
Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil antaranya mahu tahu berkaitan kelayakan Nuemera yang dipilih Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) untuk tugas itu, siapa yang terlibat dalam pemilihannya serta nilai kontrak keseluruhan.
Fahmi juga mahu tahu bila kontrak itu akan didedahkan SKMM, apakah tindakan terhadap Nuemera ketika berlaku kebocoran data dan bila perkara itu disedari.
“Atau adakah SKMM hanya mengetahui tentang kebocoran data ini dari laporan berita Lowyat.net pada 19 Oktober lalu?
“Apakah pampasan yang akan diberi pihak SKMM, Nuemera Sdn Bhd, serta syarikat-syarikat telekomunikasi kepada semua para pengguna yang telah terkesan akibat skandal kebocoran data ini?” soalnya.
PCBS, dilancarkan pada Februari 2014, adalah inisiatif SKMM untuk membolehkan telefon yang dicuri disekat membuat panggilan, menghantar mesej atau mengakses Internet, walaupun kad SIM ditukar.
PCBS tidak diuruskan oleh SKMM sendiri tetapi Nuemera sebagai sebuah syarikat swasta.
Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman sebelum ini mengesahkan kepada Malaysiakini bahawa polis turut menyiasat Nuemera dalam kes kebocoran data itu.
SKMM dan Nuemera enggan menjawab soalan berhubung kecurian data dan PCBS.
"Data syarikat telekomunikasi yang bocor kini sedang disiasat oleh SKMM dan polis.
"Maka, kami tidak dapat mengulasnya," kata jurucakap Nuemera kepada Malaysiakini, melalui email.
Dalam kenyataan hari ini, Fahmi berkata beliau faham kenapa Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Salleh Said Keruak enggan mengulas isu itu kepada media semalam, kerana ia berlaku sebelum beliau menjadi menteri.
Bagaimanapun, katanya, beliau seharusnya lebih proaktif dan terbuka dengan mengarahkan SKMM untuk mengeluarkan kenyataan serta senarai soalan-soalan lazim dibangkitkan.
Ini “memandangkan skandal kebocoran data ini memberi kesan kepada hampir kesemua pengguna perkhidmatan telekomunikasi di Malaysia”, katanya lagi.
“Saya percaya ramai pengguna perkhidmatan telekomunikasi sedang menantikan jawapan menyeluruh pihak SKMM berkenaan skandal kebocoran data terbesar dalam sejarah Malaysia.
“Saya berharap dengan jawapan SKMM kepada soalan-soalan ini, rakyat Malaysia akan mula memahami apa yang sebenarnya berlaku di dalam skandal ini,” katanya.
