Paling Popular
Terkini
story images
story images

Sebuah petisyen diserahkan kepada Pejabat Perdana Menteri hari ini menggesa antara lain agar kerajaan menurunkan harga minyak.

Gerakan Turunkan Harga Minyak (GERTAK) dalam petisyennya turut menyatakan agar harga siling bagi RON95 ditetapkan pada kadar RM1.90 seliter.

Tuntutan lain dalam petisyen itu adalah penstabilan harga minyak secara telus dan pengembalian subsidi minyak.

Kumpulan berkenaan juga mendesak kerajaan agar sistem penetapan harga minyak secara mingguan dihentikan dan Nilai Alpha Sebenar didedahkan.

“Kami amat mengharapkan perhatian sewajarnya daripada perdana menteri untuk mempertimbangkan petisyen rakyat ini,” kata kumpulan itu.

GERTAK dalam petisyen itu mendakwa perdana menteri sebenarnya menyedari kenaikan taraf hidup dan kenaikan harga barangan disebabkan kenaikan harga petrol dan diesel.

Kumpulan berkenaan yang sebelum ini membuat protes minyak ketika sesi pembentangan Bajet 2018 turut mendakwa penetapan harga minyak secara mingguan tidak ditetapkan mengikut struktur yang telus dan berkesan dengan kekerapan kenaikan 80 peratus melebihi penurunan.

“Perdana menteri menyedari RON95 seharusnya ditetapkan sekitar RM1,90 seliter jika subsidi minyak yang hanya RM3 bilion hingga RM4 bilion setahun tidak dipotong kerajaan dan nilai alpha yang telus digunakan mengambil kira harga minyak mentah dunia yang hanya sekitar AS$50 sehingga AS$60 setong," kata kumpulan berkenaan.

Petisyen berkenaan ditandatangani sekretariatnya Muhammad Faiz Fadzil, Abbas Azmi, dan Anas As-Saiz Zaharuddin.

Minggu lalu harga petrol dan diesel akhirnya diturunkan selepas enam minggu dengan harga minyak mencecah kadar paling tinggi pada minggu sebelumnya sejak pelaksanaan sistem apungan mingguan.

Sistem mingguan itu mula dilaksanakan pada 30 Mac lalu.

Harga minyak mingguan ditentukan harga minyak dunia berdasarkan Mean of Platts Singapore (MOPS) dan kadar tukaran ringgit ke dolar Amerika.

Bagaimanapun, Ketua Setiausaha Perbendaharaan Negara Tan Sri Irwan Serigar Abdullah berkata kerajaan masih menyediakan sejumlah subsidi bagi mengelakkan kenaikan harga minyak yang drastik.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS