Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Kerajaan Negeri Melaka sedang mengkaji jenis insinerator yang sesuai digunakan bagi mengatasi masalah sampah di negeri ini.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar Melaka Datuk Ismail Othman berkata kajian dari segi teknikal masih dilakukan bagi memastikan supaya insinerator yang bakal digunakan nanti bersesuaian untuk menampung sisa pepejal di negeri ini.

“Kebanyakan daripada sampah yang dihasilkan adalah dalam bentuk lembap, jadi perlu pilih jenis insinerator dan bahan api yang paling sesuai,” katanya ketika ditemui pemberita di luar persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Ayer Keroh di Melaka hari ini.

Beliau berkata kos bagi membina insinerator berkenaan dianggarkan bernilai kira-kira RM1 bilion sebuah.

Menurut beliau insinerator itu akan dibina bersebelahan dengan Tapak Pelupusan Sanitari Sungai Udang sedia ada bagi memudahkan kerja-kerja pemunggahan dan pemprosesan sampah.​​​​​​

Terdahulu semasa persidangan DUN, ketika menjawab soalan tambahan Goh Leong San (Bebas-Duyong) yang ingin tahu mengenai keselamatan tapak pembinaan insinerator, Ismail berkata, isu tersebut tidak seharusnya berbangkit kerana di luar negara terdapat loji pelupusan sisa pepejal yang dibina berhampiran infrastruktur orang awam.

“Teknologi insinerator ini turut digunakan di Singapura bahkan telah dibina berhampiran kawasan tumpuan orang awam seperti hospital serta sekolah dan ternyata tiada masalah yang timbul,” katanya.

Beliau berkata pembinaan teknologi insinerator tersebut adalah mesra alam dengan mematuhi syarat kadar pelepasan gas yang ditetapkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan langkah itu mampu mengelakkan penduduk berhampiran daripada mengalami masalah kesihatan.

Katanya insinerator yang bakal dibina itu juga dapat menghasilkan tenaga boleh diperbaharui seperti elektrik yang mampu mengurangkan kebergantungan kepada sumber asli.

Tapak Pelupusan Sanitari Sungai Udang yang mula beroperasi pada April 2015 menerima lebih 1,000 tan sampah sehari dan sepatutnya mampu bertahan dalam tempoh lima tahun, namun mencapai tahap kritikal pada April lepas.

- Bernama

Lihat Komen
ADS