Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Menteri: Siasatan skandal hartanah MARA hampir selesai
Diterbitkan:  Nov 30, 2017 7:33 PM
Dikemaskini: 11:40 AM

Menteri Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah pun dalam peringkat akhir siasatan skandal pembelian hartanah Majlis Amanah Rakyat (MARA) di Australia.

"Kita difahamkan SPRM hampir melengkapkan siasatan mereka berhubung dakwaan tersebut.

"Lebih baik kita tunggu sahaja dan tiada guna kita bangkitkan semula," katanya dalam sidang media, seperti dipetik Sinar Harian hari ini.

Kementerian itu juga dimaklumkan yang SPRM sedang menunggu laporan urus niaga tersebut daripada pihak berkuasa Australia, kata Ismail lagi.

MARA terletak di bawah Kementerian Luar Bandar dan Wilayah.

Skandal pembelian hartanah yang dibuat syarikat di bawah MARA, Mara Incorporated Sdn Bhd (Mara Inc) itu mula didedahkan pada 2015.

Laporan eksklusif Malaysiakini semalam mendedahkan butiran baru berhubung salah satu urus niaga yang berlaku, yang menyebabkan MARA kerugian kira-kira RM60 juta.

Ia berkaitan urus niaga pembelian bangunan 12 tingkat Unilodge di Melbourne, melibatkan "syarikat lahu" (syarikat tanpa operasi atau shell company) di British Virgin Islands (BVI).

Unilodge "dijual" kepada Mara Inc pada harga A$41.8 juta (kira-kira RM138 juta) walaupun harga pasarannya A$23.5 juta (kira-kira RM77.6 juta).

Pada 2012, syarikat bernama Scarlett Nominees Ltd membuat perjanjian dengan Mara Inc untuk menjual syarikat BVI, Thrushcross Land Holdings Ltd, yang "dikatakan memiliki hartanah itu", pada harga A$41.8 juta.

Walhal ketika itu, Unilodge dikatakan masih milik HRSV Pty Ltd.

Pada 16 Januari 2013, barulah Thrushcross membayar sebanyak A$23.5 juta kepada HRSV Pty Ltd untuk bangunan itu.

Lihat Komen
ADS