Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Nurul Izzah marah DBKL jual tanah tak nak untung
Diterbitkan:  Dec 1, 2017 4:49 PM
Dikemaskini: 9:00 AM

Anggota Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar mempersoalkan mengapa Dewan bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menjual tanah di bawah harga pasaran kepada pemaju bagi Program Rumah Mampu Milik Wilayah Persekutuan (Rumawip).

Katanya, DBKL menjual tanah seluas 42.42 ekar di Jalan Klang Lama kepada Garuda Saerah Sdn Bhd (GSSB) bagi projek Residensi Desa Satumas dengan harga RM 24.07 juta lebih rendah daripada nilai Kementerian Kewangan iaitu RM517.07 juta.

Katanya perkara itu diketahui berdasarkan Laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) 2016 bagi projek Rumawip yang dibentangkan Isnin lalu.

“Mengapa sengaja keuntungan buat DBKL dikesampingkan untuk memenuhi poket syarikat-syarikat terpilih,” kata Nurul Izzah dalam kenyataannya hari ini.

Naib Presiden PKR itu turut mempersoalkan tindakan DBKL melantik pemaju Rumawip Virtue Court Sdn Bhd (VCSB) tanpa mengemukakan profil atau latar belakang pengalaman syarikat.

Beliau juga mempersoalkan mengapa anak syarikat VCSB, Gagasan Matrik Sdn Bhd (GMSB) yang hanya mempunyai modal berbayar sebanyak RM100 dilantik sebagai pemaju projek di Pantai Dalam.

Justeru beliau mendesak Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Mhd Amin Nordin Abdul Aziz menjelaskan isu pemilihan pemaju yang tidak berkelayakan serta jualan tanah di bawah nilai pasaran.

“Permasalahan yang timbul kian menghakis kepercayaan masyarakat Kuala Lumpur secara amnya, terhadap Kementerian Wilayah Persekutuan dan DBKL.

"Kerajaan kelihatan menekan rakyat dengan urusan denda dan saman, sedangkan kepincangan sendiri masih tak berkesudahan,” katanya.

Malaysiakini sedang berusaha menghubungi Tengku Adnan bagi mendapatkan respon beliau.

Lihat Komen
ADS