Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pensyarah selar cadangan Hanipa agar ateisme diiktiraf sebagai agama
Diterbitkan:  Dec 1, 2017 7:56 PM
Dikemaskini: 2:06 PM

Kenyataan terbaru bekas peguam PAS, Hanipa Maidin berhubung golongan ateis hanya akan memburukkan imej beliau dan Parti Amanah Negara, kata Pengarah Pusat Kajian Politik Malaysia Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Kamarul Zaman Yusoff.

Kamarul mengulas pandangan Hanipa yang mengatakan hanya dengan mengiktiraf ateisme sebagai agama barulah penyebaran ateisme terhadap penganut Islam boleh dikawal selaras Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan.

"Pada hemat saya konar baring terbaru Hanipa Maidin ini walaupun mungkin dimaksudkan untuk memperbaiki imej beliau dan imej AMANAH yang tercalar di mata umat Islam, sebenarnya akan menjunamkan lagi imej beliau dan AMANAH.

“Ini kerana, bila ateisme diiktiraf sebagai agama, maka sudah tentulah golongan ateis akan mempunyai hak untuk menganuti dan mengamalkan ateisme tanpa sebarang gangguan seperti yang diperuntukkan oleh Perkara 11(1) Perlembagaan Persekutuan,” katanya seperti dipetik Harakahdaily hari ini.

Semalam, Hanipa Maidin dilapor berkata hanya dengan mengiktiraf ateisme sebagai agama penyebaran ateisme terhadap penganut Islam boleh dikawal atau disekat selaras dengan Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan.

Bagaimanapun Hanipa yang juga anggota parlimen Sepang tidak mengemukakan bukti bagi menyokong tafsiran bahawa ateisme adalah agama.

Akan jadi lebih parah

Mengulas lanjut, Dr Kamarul Zaman Yusoff berkata keadaan akan menjadi lebih parah apabila Hanipa Maidin mahu aties diiktiraf sebagai agama.

“Lebih parah lagi,bila diiktiraf sebagai agama, maka sudah tentulah golongan ateis akan mempunyai hak untuk "menguruskan hal ehwal agamanya sendiri, menubuhkan dan menyenggarakan institusi-institusi bagi maksud agama atau khairat dan memperoleh dan mempunyai harta dan memegang dan mentadbirkannya mengikut undang-undang" tanpa sebarang gangguan seperti yang diperuntukkan oleh Perkara 11(3) Perlembagaan Persekutuan,” tegas Kamarul Zaman.

Selain itu Kamarul berkata penyebaran ateisme terhadap penganut Islam sebenarnya boleh disekat melalui Perkara 11 (4) perlembagaan Persekutuan walaupun ateisme tidak diiktiraf sebagai agama.

"Ini kerana Perkara 11(4) ini sebenarnya membolehkan kerajaan mengawal atau menyekat pengembangan "apa-apa doktrin atau kepercayaan agama bukan Islam" di kalangan orang yang menganuti agama Islam.

“Malah, jika dilihat kepada Enakmen Kawalan Dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam yang ada di pelbagai negeri pun sudah ada peruntukan yang menyatakan kesalahan bukan hanya membabitkan usaha menarik penganut agama Islam kepada agama bukan Islam sahaja.

“Soalnya sekarang ialah apakah Hanipa Maidin dan AMANAH benar-benar mahu melihat golongan ateis yang selama ini bergerak secara senyap-senyap, bergerak secara terbuka melalui institusi-institusi sah bagi menjaga kepentingan ateisme pula?

“Pening saya dengan Hanipa Maidin ini,” kata Kamarul Zaman.

Tak sedar kesan hujah

Sementara itu mengulas kenyataan Kamarul Zaman, Hanipa berkata mereka yang berhujah bahawa aties bukan agama tak sedar kesan hujah mereka.

“Ada pihak pihak tertentu yang marah dengan saya bila saya tafsirkan " aties" sebagai agama dalam Artikel 11 Perlembagaan Persekutuan kerana bagi saya "agama" berkait rapat dengan suatu kepercayaan dalaman (an inner belief or conscience).

“Dalam masa yang sama, ada juga yang ingatkan saya, isunya jika kita tak bendung atheism maka ia akan disebarkan (propagate) kepada orang Islam.

“Sebenarnya, mereka yang hujah bahawa aties bukan agama tak sedar kesan hujah mereka," katanya dalam catatan di Facebook. 

Hanipa berkata sekiranya ateis tidak diiktiraf sebagai agama, maka idealogi itu boleh disebarkan tanpa halangan.

"Jika ia bukan "agama" isunya di mana salahnya aties untuk disebarkan (propagate) kepada orang Islam yang mana pada masa ini sebaran tersebut dihalang oleh Artikel 11 ( 4 ) Perlembagaan Persekutuan.

Anyway, dont worry be happy!” katanya.

Lihat Komen
ADS