Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Najib tak boleh berdiam isu tweet anti-Muslim Trump'

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak digesa menegur rakannya Presiden Amerika Syarikat Donald Trump yang telah mengongsikan video anti-Islam di laman Twitternya.

"Sekurang-kurangnya PM kita perlu tegur. Apalah guna jumpa Trump tapi tak guna hubungan baik untuk tegur Islamofobia Trump," kata Naib Presiden AMANAH Datuk Mujahid Yusof Rawa kepada Malaysiakini.

Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail juga berkata Najib perlu bersuara dan "berdiam bukan satu pilihan."

Trump pada hari Rabu telah mengongsikan tiga video anti-Muslim yang dimuatnaik oleh Jayda Fransen, timbalan ketua kumpulan sayap-kanan ekstrem Britain First.

Salah satu video berkenaan mendakwa bahawa seorang warga asing Muslim telah memukul seorang pemuda di Belanda.

Pihak kerajaan dan media Belanda menafikan perkara tersebut, dan mengatakan bahawa individu yang terbabit bukan seorang Muslim dan juga warganegara Belanda yang telah dibawa ke mahkamah.

Manakala satu lagi video menunjukkan pemuda ditolak dari bumbung sebuah bangunan, dikatakan berlaku ketika rusuhan di Mesir pada tahun 2013 berikutan kejatuhan kerajaan presiden ketika itu, Mohamed Morsi.

Video ketiga yang kononnya menunjuk seorang Islam memusnahkan patung Virgin Mary masih belum disahkan.

Perdana Menteri Britain Theresa May dan ramai ahli politik negara itu telah pun mengecam Trump, sambil parlimen Britain berdebat untuk membatalkan lawatan rasmi president AS ke negara itu pada tahun 2018.

Trump membalas dengan tweet yang mengatakan bahawa May sepatutnya menumpukan perhatian terhadap unsur-unsur keganasan Islam radikal di UK.

Najib mengatakan beliau adalah rakan baik Trump dan kali terakhir mereka berjumpa adalah di Manila pada bulan lepas.

Saifuddin berkata, tweet oleh Trump jelas menunjukkan beliau benci dan curiga terhadap Islam dan penganutnya, dan pendirian ini akan membuat hubungan AS dengan negara lain tegang.

Sementara itu, Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar berkata Najib harus bersuara jika beliau punyai "keberanian mempertahan prinsip dan kedudukan moral negara".

Lihat Komen
ADS