Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
MP: Tablet dibekalkan Utusan 114% lebih mahal

ULASAN | Pada 30 November 2017, saya mendedahkan bahawa syarikat Utusan Melayu (M) Bhd (Utusan) mendapat kontrak kerajaan pusat untuk menjadi pembekal komputer tablet kepada 430,000 guru di seluruh negara.

Kos projek tersebut dijangka mencecah RM340 juta.

Saya telah melontarkan tiga soalan kepada kerajaan pusat:

  • Mengapa sebuah syarikat surat khabar Umno boleh dilantik menjadi pembekal komputer tablet?
  • Jika beri kepada syarikat akhbar sekalipun, mengapa diberikan kepada Utusan yang mengalami kerugian setiap tahun sejak 2013 sehingga RM220 juta?
  • Mengapa tiada tender terbuka untuk projek bernilai RM340 juta ini?

Mengikut jawapan Timbalan Menteri Pendidikan di parlimen, sebanyak 182,712 unit komputer tablet diedarkan dengan kos sebanyak RM152 juta.

Dalam kata lain, harga setiap unit tablet yang dibekalkan oleh Utusan kepada kerajaan ialah RM832.

Mengikut maklumat yang diberi seorang guru di Negeri Sembilan, komputer tablet yang diedarkan kepada mereka merupakan jenis Lenovo Tab3 7 Essential.

Saya juga mendapatkan pengesahan daripada carian atas talian sebuah blog yang melaporkan tentang tablet tersebut.

Daripada laman web membeli belah popular, Lazada.com.my, Lenovo Tab3 7 Essential ini boleh dibeli dengan harga RM388.

Ini bermakna, kerajaan pusat telah membeli setiap tablet berkenaan daripada Utusan dengan harga 114 peratus lebih mahal berbanding harga pasaran!

Perlu diingatkan bahawa RM388 ini merupakan harga pembelian runcit atas talian (online retail price). Jika kerajaan membeli secara borong sebanyak 430,000 unit, saya percaya harga yang lebih baik boleh diperoleh jika proses tender terbuka dilaksanakan.

Setiap tahun Jabatan Audit Negara mengetengahkan isu kerajaan membeli barang dengan harga yang terlampau tinggi berbanding harga pasaran.

Kini perkara sama berulang untuk sebuah projek yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sendiri semasa membentangkan Bajet 2017 pada tahun lepas.

Budaya 3K Umno/BN, iaitu korupsi, kronisme dan kleptokrasi tetap tidak berubah.

Saya menggesa agar kerajaan pusat menghentikan perkhidmatan syarikat Utusan sebagai pembekal tablet bantuan mengajar serta-merta.

Syarikat baru mestilah dilantik daripada kalangan organisasi yang berpengalaman serta melalui proses tender terbuka.


STEVEN SIM ialah anggota parlimen Bukit Mertajam mewakili DAP.

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS