Ketua Penerangan PKR Kelang beri keterangan pada BPR

Muda Mohd Noor        

Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Bahagian Kelang, Syed Ahmad Putra Syed Isa telah dipanggil oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR) untuk memberi keterangan lanjut berhubung dakwaan berlaku penipuan dalam pembelian tanah di Kelang tahun lalu.

Syed Ahmad Putra, yang juga bekas setiausaha Pemuda PKR Selangor, membuat laporan tersebut terhadap Setiausaha Angkatan Muda PKR Selangor, S D Mohamad Johari Yasin yang didakwanya terbabit dengan perkara tersebut.

Ketika dihubungi, Syed Ahmad Putra mengesahkan bahawa beliau telah dipanggil memberi keterangan berhubung laporannya itu di ibu pejabat BPR Selangor di Shah Alam, bulan lalu.

Menurutnya, beliau membuat laporan kepada BPR Shah Alam itu pada 23 Februari lalu dan keesokannya di balai polis daerah Kelang.

Katanya, pegawai BPR ingin tahu dengan lebih lanjut berhubung dakwaannya itu dan beberapa perkara lain yang berkaitan dengan penjualan tanah tersebut.

Bagaimanapun, Syed Ahmad Putra kecewa kerana BPR terlalu lambat mengambil tindakan terhadap laporannya itu, manakala pihak polis Kelang pula, hingga sekarang, masih belum menghubunginya.

Maklum pada Ezam

Selain SD Johari, beliau turut menamakan seorang ahli perniagaan Mohd Januruddin Talib dalam laporan tersebut.

"Saya membuat laporan tersebut untuk memberi keadilan kepada pemilik tanah berkenaan," katanya.

Dalam laporannya itu, Syed Ahmad Putra mendakwa tanah Rukiah Abour Rahim di Klang telah dijual kepada Syarikat Jasmin Development Sdn Bhd dengan harga RM3.5 juta.

Menurutnya, Syarikat Seri Damai Sdn Bhd yang dimiliki oleh SD Johari atau beliau (SD Johari) mempunyai kepentingan di dalamnya, telah dilantik sebagai ejen jualan tanah tersebut.

Bagaimanapun, Syed Ahmad Putra mendakwa, Rukiah hanya dibayar RM2.5 juta sahaja, manakala RM756,000 lagi merupakan upah kepada Seri Damai.

Berikutan itu, dalam laporannya kepada BPR dan pihak polis, Syed Ahmad Putra mempersoalkan ke mana perginya baki sebanyak RM244,000 hasil harga jualan tanah tersebut.

Syed Ahmad Putra berkata, beliau juga telah membawa perkara tersebut kepada pengetahuan Ketua Pemuda PKR, Mohamad Ezam Mohd Nor dan Naib Presiden Azmin Ali PKR.

Malaysiakini
terkini untuk anda

Sign In