Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

ULASAN Tulisan “Nyalakan API dalam malap zaman” seperti yang diterbitkan oleh Neon Berapi (27 November 2017), wajar mendapat tanggapan. Bukan kerana tulisan ini cuba untuk mempersoalkan kefahaman umum tentang pengamatan kita mengenai masa lalu.

Akan tetapi, tulisan ini mengajak kita untuk memikirkan-kembali bentuk dan arah hubungan antara manusia dengan masyarakat, manusia dengan masa dan manusia dengan ruang.

Terdapat tiga kata di sini yang saling berkait-rapat: masyarakat, masa dan ruang. Ketiga-tiga unsur ini merupakan perwakilan kepada sebuah kerumitan yang menghasilkan ragam cara pandang kita terhadap alam dan manusia.

Dalam tulisan "Nyalakan API dalam malap zaman" tersebut, kerumitan ini tampaknya cuba ditangani dan diringkaskan dengan menawarkan “ingatan ramai” sebagai alat untuk menganalisis ketiga-tiga unsur ini.

Misalnya, dalam konteks “hubungan manusia dengan masyarakat”, gagasan ingatan ramai berusaha memaparkan betapa pentingnya peranan jama’i dalam mengerakkan perubahan.

Tulisan tersebut cuba untuk membentuk sempadan antara orang besar dan orang kecil dan antara suara rasmi dengan suara tidak rasmi. Ini semua hakikatnya adalah melibatkan persoalan antara manusia dengan masyarakat.

Begitu juga dalam konteks “hubungan manusia dengan masa”. Tulisan tersebut tidak lekang untuk membangkitkan kembali sebuah peristiwa lama sebagai simbol terhadap perjuangan demokrasi dan keadilan.

Yang lama, yakni masa lampau, telah ditarik kembali demi kepentingan masa kini. Dalam hal ini, gagasan ingatan ramai dirujuk sebagai sebuah usaha untuk melawan lupa dan menyuntik sebuah kesedaran ramai.

Dan, terakhir, dalam konteks “hubungan dengan ruang”, tulisan ini cuba untuk melebarkan konsep negara-bangsa yang tidak terhad dengan 'Melayu terbatas'. Sebaliknya, ia mahu menguak perspektif inklusif yang gigih memperkenalkan 'Melayu Luas' yang boleh saja merangkumi lebih dari Malaysia dan Melayu itu sendiri.

Menyedari bahawa tiga unsur ini –masyarakat, masa dan ruang— sangat penting kepada sebuah gagasan “ingatan ramai”, maka amat perlu untuk kita membincangkan gagasan ini dengan lebih mendalam, sebelum terus menerima, menyalin dan menampal gagasan tersebut sebagai alat menganalisis kerumitan alam dan manusia.

Pertanyaan yang mesti dibereskan

Terdapat beberapa pertanyaan yang semestinya dibereskan terlebih dahulu. Berikut beberapa perkara yang wajar diperhatikan dan ditanggapi, bukan sahaja oleh penulis “Nyalakan API dalam malap zaman”, bahkan juga mereka yang bersekutu dengannya.

Pertama, ternyata, tiada sebarang percubaan yang dilakukan oleh penulis rencana tersebut untuk menerangkan bagaimana konsep “ingatan” ini digunakan dalam konteks “ramai.”

Dalam konteks individu, konsep ingatan memang sudah sangat jelas boleh diterima. Ini yang lazim kita temui dalam persoalan mengenai psikoanalisis, neurosains dan kajian evolusi akal.

Namun, persoalannya, apakah boleh kita menggunakan konsep ingatan ini dalam konteks majmuk? Apakah yang membezakan antara “ingatan individu” dengan “ingatan ramai”?

Dan, apakah benar manusia ‘yang ramai’ mempunyai daya ingatan? Tanpa menanggapi soalan-soalan seperti ini, maka kita tidak boleh sewenang-wenangnya mendakwa bahawa gagasan “ingatan ramai” berupaya dalam mencerap “hubungan antara manusia dengan masyarakat.”

Keduanya, dengan melihat sebahagian daripada masa lalu sebagai yang dilupakan dan dipinggirkan, tulisan “Nyalakan API dalam malap zaman” terlupa untuk menyedari bahawa pengamatan kita terhadap masa lalu adalah sangat berkait-rapat dengan kerja-kerja minda.

Memang, adalah diakui bahawa gagasan “ingatan” adalah sebuah percubaan baik sebagai permulaan untuk untuk menekuni masa lalu. Bagaimanapun, untuk menerima penuh gagasan “ingatan ramai” itu tidaklah semudah yang disangka.

Ini kerana, sorotan kita terhadap masa lalu bukan sahaja berkait dengan aspek “keramaian”, tapi juga berkait dengan aspek “kebudayaan” dan “kemasyarakatan”.

Keberatannya di sini, mengapa ada kecenderungan untuk menggunakan “ingatan ramai” berbanding dengan “ingatan kebudayaan” atau “ingatan kemasyarakatan”?

Kemudian, apakah analisis “ingatan ramai” lebih berkesan berbanding dengan dua yang lainnya itu?

Dan, seterusnya, tidakkah dengan menggunakan gagasan ingatan ramai ini menyebabkan terdapat penaklukan masa kini terhadap masa lalu yakni, keadaan masa kini dijadikan landasan untuk mentakrif dan mentafsir masa lalu?

Jika ini benar, maka tampaknya gagasan “ingatan ramai” bukanlah sesuatu yang berbeza dengan kajian sejarah yang memang sudah pun terlibat dalam kerja pentakrifan dan pentafsiran terhadap peristiwa lampau.

Namun, jika ini tidak benar pula, maka apa pula beza antara “ingatan” dengan “sejarah”, antara “ingatan ramai” dengan “ingatan kesejarahan”?

Kemelayuan, kebangsaan, kenegaraan

Sebab itu, tanpa memerihalkan perkara-perkara seperti ini, maka apakah mungkin kita dapat melanggan gagasan “ingatan ramai” secara langsung, membuta dan kemudian sudah berasa seronok?

Dan, ketiga, gagasan “ingatan ramai” yang dikemukakan dalam rencana tersebut cuba untuk meluaskan perbincangan mengenai “kemelayuan”, “kebangsaan” dan juga “kenegaraan”.

Namun, ternyata, kesemua perbincangan ini tidak dapat lari dari membataskan diri dalam konteks negara-bangsa.

Maksudnya, penerapan gagasan “ingatan ramai” yang kononnya alat analisis bertenaga, malangnya, pada akhirnya juga, terpaksa membataskan dirinya sendiri dalam bingkai negara-bangsa.

Dilema ini yang mendorong sebuah pertanyaan lain: apakah “yang inklusif” itu lebih ‘mulia’ dari “yang eksklusif”? Apakah “yang sejagat” lebih aulia dari “yang khusus”? Apakah “yang ramai” lebih baik dari “yang sedikit”?

Namun, jika memang itulah jawapannya, maka apa pula hujah-hujahnya yang mendasarinya?

Dalam mendepani kerumitan alam dan manusia, misalnya, adalah sangat berat-sebelah sekiranya kita lekas mengutamakan “yang luas” terhadap “yang terbatas”. Ini kerana, sistem kemasyarakatan kita, kalau diteliti betul-betul, adalah terbina dari sebuah keadaan binari, yang mana kedua-dua kutub kemasyarakatan adalah saling melengkapi antara satu sama lain.

Justeru, dengan menafikan fakta binari ini, maka gagasan “ingatan ramai” yang cenderung untuk dipadankan dengan idea-idea sepihak seperti inklusif, luas, sejagat dan ramai tampaknya akan membentuk sebuah hagemoni sendeng yang akhirnya akan boleh bersifat dengan apa yang disanggahnya: misalnya, suatu ingatan tanding akhirnya boleh menjadi ingatan rasmi.

Sebab itu, adalah amat perlu kita lebih cermat dalam mengutarakan gagasan-gagasan muluk, seperti gagasan ingatan ramai, sebelum memahami terlebih dahulu hakikat keadaan pembentukan alam dan manusia dalam lingkungan kita.

Sebagai rumusan, ketiga-tiga kumpulan pertanyaan—yang dirangkum dalam manusia, masa dan ruang— yang dilemparkan ini bukannya untuk mengendurkan usaha untuk memakai “ingatan ramai” sebagai alat menganalisa manusia, masa dan ruang.

Tetapi, ia adalah sebuah ajakan untuk kita lebih berhati-hati sebelum terus menyalin dan menampal sesuatu gagasan terhadap konteks sesebuah keadaan.

Namun, andai kata memang terdapat kewajaran untuk menyalin dan menampal sekalipun, maka hujah-hujah awal perlu diuji dan diperkukuhkan terlebih dahulu. Dalam hal ini, sebelum ada sebarang usaha menyalakan api dalam malap zaman, maka perihal yang perlu diperbincangkan adalah “dengan apa” (pencarian kaedah) dan “untuk apa” (pencarian makna) api itu mahu dinyalakan.

Jika tidak, api (atau, API) yang dinyalakan kelak padam hanya dalam sekali hembusan sahaja. Itulah yang terjadi pada kebanyakan sejarah revolusi dunia.


Rencana ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS