Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Adakah Najib akan ke penjara, jika bersalah'
Diterbitkan:  Dec 4, 2017 5:16 PM
Dikemaskini: 9:24 AM

Wartawan kanan akhbar Bangkok Post Erich Parpart berasa seperti bercakap dengan salah seorang pakcik beliau ketika mewawancara mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dalam rencana beliau berjudul 'Mahathir's words of wisdom' terbit hari ini, Parpart berkata pengalaman beliau berbeza dengan jangkaan awalnya daripada seorang ahli politik yang mencari pentas bagi mempersendakan lawan politiknya.

"Dr Mahathir berkhidmat sebagai perdana menteri Malaysia dari 1981 ke 2003, lebih lama daripada ramai pemimpin lainnya, beliau seorang pemimpin Asean yang berpengaruh dalam era moden.

"Sekarang dalam usia 92 tahun, beliau jelas patut dihormati lebih daripada orang-orang tua lain dalam bidang politik, tetapi beliau tidak kelihatan bertindak seperti seorang yang mahu atau meminta hal itu.

"Saya berasa seperti bercakap dengan salah seorang pak cik saya, malahan jika saya bertanya soalan bodoh, dia masih menjawab dengan sabar, seperti seorang guru yang ramah kepada pelajarnya. Semoga saya dapat menjadi koheren dan tekun dalam mengerjakan hal yang saya minati apabila saya berada pada usia beliau," tulisnya.

Dr Mahathir tenang dan optimis

Dalam wawancara itu, Mahathir mengulang dakwaan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan berkata ramai orang mendesak beliau untuk bertindak.

Mantan perdana menteri berkata pada awalnya beliau cuba untuk membetulkan keadaan dari dalam Umno dengan menawarkan pandangan dan pendapat beliau tetapi terbukti tidak berkesan.

Seterusnya, kata Mahathir beliau terpaksa keluar Umno pimpinannya lebih dua dekad dan bersama beberapa pemimpin lain beliau menubuhkan Parti Pribumi Bersatu (BERSATU).

Parpart memaklumkan Mahathir sangat tenang sepanjang wawancara berlangsung. Pengerusi BERSATU itu juga optimis terhadap peluang pakatan pembangkang mengambil alih Putrajaya dalam pilihan raya akan datang.

Menurut Parpart, mantan perdana menteri enggan memakan umpan soalan ketika wartawan 'memberikan peluang untuk menyerang'.

"Adakah kamu fikir Najib perlu dipenjarakan jika beliau dibuktikan bersalah kemudian?" Begitu tanya Papart dan beliau mendapat 'jawapan yang cukup berhati-hati'.

"Orang ramai mahu melihat beliau dibicarakan, jika terdapat bukti beliau telah melakukan sebarang salah laku," jawab Mahathir.

"Undang-undang tidak membezakan di antara perdana menteri atau rakyat biasa dan hal itu bergantung mahkamah untuk memutuskannya.

"Setakat yang kami tahu, beliau telah melakukan sesuatu yang salah tetapi kami perlu mengikur undang-undang," tambah beliau.

Parpart memuji Mahathir kerana menjawab soalan itu tanpa berselindung dan dalam masa yang sama tetap hormat kepada seteru beliau dan sistem kehakiman.

Wartawan Bangkok Post itu juga menyatakan beliau cukup terkesan dengan wawancara tersebut.

"Biarpun saya merumuskan pentadbiran beliau sangat jelas bukan jaguh kebebasan media, saya sejujurnya berkata ia suatu penghormatan dapat bercakap dengan seseorang yang banyak pengalaman seperti dr Mahathir," tulis beliau.

Lihat Komen
ADS