Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendakwa watak “Si Kitol” dan “Bendahara Mandaliar” yang bertanggungjawab menghancurkan kegemilangan empayar Melayu Melaka ratusan tahun dulu, kini menjelma semula.

Kata Ahmad Zahid orang seperti itulah kini cuba menghancurkan agama, malah didakwanya mempersenda raja-raja Melayu.

Oleh sebab itu kata naib presiden Umno berkenaan, orang Melayu di negara ini mesti berwaspada dengan "Si Kitol" dan "Bendahara Mandeliar" yang cuba memecah-belahkan perpaduan bangsa.

Menteri Dalam Negeri itu berkata orang Melayu hari ini perlu mengambil iktibar supaya tidak lagi mengulangi sejarah hitam zaman kerajaan Melayu Melaka itu dengan mempercayai individu sedemikian.

“Si Kitol dan Bendahara Mandaliar mula berbuat onar dan berkhianat pada bangsanya akhirnya hancurlah empayar kegemilangan Melayu Melaka," kata Ahmad Zahid ketika berucap merasmikan Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda, Wanita, dan Puteri Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur malam ini.

Turut hadir seorang lagi naib presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein; Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Ketua Wanita Tan Sri Shahrizat Jalil.

Watak Si Kitol dan Bendahara Mandaliar diceritakan dalam naskhah Sulalatus Salatin atau Sejarah Melayu yang berkisah mengenai kebangkitan, kegemilangan dan kejatuhan Kesultanan Melayu Melaka.

Kedua-dua watak berkenaan berperanan penting melakukan sabotaj terhadap kerajaan Melaka sehingga membawa kepada penjajahan Belanda pada 1511.

Walaupun tidak menyebut sebarang nama dipercayai Ahmad Zahid menyasarkan kata-kata itu kepada bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang kini mengetuai Pakatan Harapan.

Kata Ahmad Zahid, tahun lalu beliau pernah mengingatkan Umno supaya tidak melupakan tujuh wasiat raja-raja Melayu.

"Peganglah dan jadikanlah amanat ini sebagai wasilah perjuangan kita," katanya.

Lihat Komen
ADS