Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
AS perlu timbang semula iktiraf Baitulmuqaddis ibu negara Israel
Diterbitkan:  Dec 7, 2017 2:56 PM
Dikemaskini: 7:39 AM

Amerika Syarikat perlu menilai semula keputusannya untuk mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel.

Wisma Putra dalam kenyataannya hari ini berkata keputusan itu akan menamatkan segala usaha ke arah menyelesaikan masalah berkaitan rakyat Palestin.

“Ia akan memberi kesan amat buruk bukan sahaja kepada keselamatan dan kestabilan di rantau berkenaan, tetapi turut menyemarakkan sentimen, sekali gus semakin menyukarkan usaha memerangi keganasan.

“Malaysia menegaskan bahawa Baitulmuqaddis adalah teras kepada perjuangan rakyat Palestin dan meminta kesemua negara anggota Pertubuhan Bangsa Bersatu supaya tidak mengiktiraf sebarang perubahan dalam persempadanan pra 1967, termasuk yang berkaitan dengan Baitulmuqaddis,” menurut kenyataan itu lagi.

Wisma Putra berkata sebarang percubaan untuk mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel, mewujudkan atau memindahkan perwakilan diplomatik ke bandar itu dianggap sebagai pencerobohan bukan sahaja terhadap Arab dan umat Islam, tetapi juga melanggar hak umat Islam serta penganut Kristian.

“Ia juga melanggar hak kewarganegaraan penduduk Palestin, termasuk hak mereka untuk menentukan sendiri masa depan dan pelanggaran undang-undang antarabangsa yang dahsyat, termasuk resolusi Majlis Keselamatan yang relevan, iaitu Resolusi No. 252 (1968), 267 (1969), 465, 476 dan 478 (1980) dan terkini, Resolusi 2334 (2016).

“Mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel bukan dibuat berdasarkan realiti, sebaliknya suatu pernyataan sokongan kepada dasar Israel, lebih kepada perbuatan melanggar undang-undang antarabangsa. Besar kemungkinan ia tidak betul,” kata Wisma Putra.

Indonesia kecam tindakan AS

Indonesia hari ini mengecam tindakan Amerika Syarikat untuk mengiktiraf Baitulmuqqadis sebagai ibu negara Israel.

Presiden Indonesia Joko Widodo berkata Indonesia mahu Amerika Syarikat menimbangkan semula keputusan itu kerana ia akan memberi kesan buruk kepada keamanan dan kestabilan di Palestin.
"(Indonesia) Mengecam keras pengakuan Amerika Syarikat terhadap Yerusalem (Baitulmuqqadis) sebagai ibu kota Israel dan meminta Amerika Syarikat mempertimbangkan kembali keputusan tersebut," kata Jokowi, dipetik dalam laporan Agensi Berita Antara.
Jokowi berkata rakyat Indonesia sentiasa konsisten dalam memberi sokongan terhadap kemerdekaan Palestin.

"Saya dan rakyat Indonesia, kita semuanya tetap konsisten untuk terus bersama dengan rakyat Palestin dalam memperjuangkan kemerdekaan dan hak-hak rakyat Palestin," katanya.

- Bernama

 

 

Lihat Komen
ADS