Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Video dakwa pembangkang bawa pengaruh buruk pada kanak-kanak

PAU2017 I Sebuah video propaganda ditayangkan di luar Perhimpunan Agung Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dengan cuba menggambarkan pembangkang membawa pengaruh buruk kepada kanak-kanak.

Video itu dimulai dengan menunjukkan beberapa orang kanak-kanak pelbagai kaum menonton ceramah politik yang disampaikan oleh pembangkang menerusi komputer riba, telefon bimbit atau tablet.

Salah seorang penceramah dalam video itu ialah bekas pemimpin DAP, Hew Kuan Yew yang pernah mengeluarkan kenyataan mengenai 'skrew Melayu'.

Kanak-kanak berkenaan kemudian berkumpul di sebuah taman permainan sebelum seorang gadis berketurunan Cina, Mei Lin mengajak seorang gadis Melayu bermain dengannya.

Sasha kemudian teringat semula ucapan Hew dan dengan berhati-hati menolak ajakan itu sambil berkata "Tak naklah Mei Lin, nanti awak pergunakan saya'.

Akibatnya persahabatan mereka terputus.

Video itu berakhir dengan amaran bahawa kanak-kanak mudah dipengaruhi oleh apa yang mereka lihat.

Hew tahun lepas membuat kenyataan mengenai "Melayu skrew Melayu" semasa pilihan raya negeri Sarawak ketika berkempen untuk calon Batu Kitang, Abdul Aziz Isa

Beliau mendakwa kenyataan itu yang dibuat dalam bahasa Cina telah diambil di luar konteks.

Video anti-pembangkang itu ditayangkan semasa pewakilan Umno sedang rehat untuk makan tengah hari di dewan Dewan Tun Hussein Onn di PWTC.

Lain-lain pemimpin yang ditunjukkan membawa "pengaruh negatif" dalam video itu ialah naib presiden PKR, Rafizi Ramli dan aktivis politik Hishamudin Rais.

Rakaman keganasan semasa perhimpunan BERSIH dan Forum Nothing to Hide 2.0 turut dipaparkan dalam video itu.

Selain itu, satu lagi rakaman video menyalahkan DAP kerana menyebabkan ketegangan kaum di Malaysia dan memainkan semula pertemuan Perdana Menteri Datuk seri Najib Razak dengan presiden Amerika Syarikat Donald Trump September lepas.

Lihat Komen
ADS