Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) bagi membanteras kegiatan sindiket pemalsuan kad pengenalan Malaysia yang semakin meningkat.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Chor Chee Heung menegaskan kerajaan boleh menahan mereka yang melakukan pemalsuan dokumen pengenalan di bawah peruntukan ISA.
"Ini kerana pemalsuan kad pengenalan sudah sampai pada tahap cukup serius, dan kerajaan akan mengguna peruntukan di bawah ISA bagi menahan mereka," kata Chor pada sidang media di Parlimen hari ini.
Katanya, daripada 69 orang yang ditahan di Kem Kamunting di Perak, seramai 20 penjenayah terbabit dengan pemalsuan dokumen kad pengenalan, pasport dan wang kertas Malaysia.
Berikutan itu, kerajaan meningkatkan kualiti pengeluaran kad pengenalan yang sedang diguna pakai oleh rakyat dan mengetatkan pengeluaran kad tersebut kepada pemohon yang kehilangan kad.
"Kad pengenalan palsu yang dibuat oleh sindiket boleh dibeli dan ia mudah dikenalpasti oleh anggota keselamatan kita," katanya .
Katanya lagi, usaha kerajaan memperkenalkan penggunaan sistem kad bermutu tinggi seperti pengenalan kad pintar pelbagai guna atau Goverment Multipurpose Card secara berperingkat-peringkat dijangka dapat mengatasi isu pemalsuan kad pengenalan.
Setakat ini 28,000 penduduk di sekitar Lembah Kelang telah menggunakan perkhidmatan kad pintar.
Ciri keselamatan
Terdahulu, menjawab soalan Mohamed Nasir (PAS-Kuala Krai), Chor menafikan dakwaan pembangkang bahawa kad-kad pengenalan itu lebih mudah didapati di pasar-pasar malam. Wakil Pas-Kuala Krai itu, bagaimanapun menegaskan perkara itu telah didedahkan oleh pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya sendiri.
Beliau dalam soalannya meminta Chor menjelaskan ciri-ciri keselamatan kad pengenalan dan dakwaan bahawa kad itu mudah diperolehi di pasar-pasar malam terutama di negeri Sabah.
Chor yang juga wakil BN-Alor Setar menjelaskan lapan ciri keselamatan pada kad pengenalan Malaysia iaitu mempunyai nombor 12 angka, diikuti tarikh lahir, kod negeri dan nombor kawalan komputer.
Kad tersebut mesti berbentuk gabungan cetak dan imej gambar dan memiliki warna kuning pada permukaannya serta garis-garis halus dan titik-titik yang boleh dilihat dengan mudah.
Ciri-ciri lain ialah tindak balas kuning dan merah seolah-olah tidak melekat dakwat pada kad itu, perkataan Malaysia bertulisan Jawi, lambang persekutuan serta gambar dan cap ibu jari dihasilkan melalui fotografi.
Chor memberitahu sidang dewan, sejak tahun 1995 hingga 2000, kerajaan telah mengesan 2,091 kes pemalsuan kad pengenalan.
Sebaliknya, Nasir mempertikaikan ciri-ciri itu kurang selamat dan tidak terjamin berikutan seramai 27,000 nama pengundi terpaksa dibatalkan kerana memiliki kad pengenalan palsu baru-baru ini.
Bagaimanapun, Chor berkata sejak kad pintar pelbagai guna diperkenalkan, kerajaan yakin tidak mudah pihak terbabit menjalankan sindiket pemalsuan. "Mereka yang memiliki kad pengenalan palsu kebanyakannya yang dikeluarkan 10 tahun dahulu," kata Chor.
