Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dua maut bantah iktiraf Baitulmuqaddis ibu negara Israel
Diterbitkan:  Dec 9, 2017 8:48 AM
Dikemaskini: 1:09 AM

GLOBAL Sekurang-kurangnya dua orang terbunuh dalam pertempuran dengan tentera Israel pada hari Jumaat apabila ribuan rakyat Palestin bangun menentang pengiktirafan Presiden Amerika Donald Trump terhadap Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel dan presiden Palestin berkata Washington tidak lagi boleh menjadi broker rundingan damai.

Di seluruh dunia Arab dan Islam, ribuan penunjuk perasaan turun ke jalanan pada hari Jumaat untuk menyatakan perpaduan dengan rakyat Palestin dan kemarahan terhadap perubahan dasar AS itu.

tentera Israel menembak mati seorang lelaki Palestin berhampiran sempadan Gaza, kematian pertama disahkan dalam tempoh dua hari berlaku penentangan itu, manakala puluhan orang cedera. Seorang lagi meninggal dunia kemudiannya, akibat kecederaan, kata seorang pegawai hospital Gaza.

Tentera Israel berkata, ratusan rakyat Palestin sedang melontar tayar yang dibakar dan melemparkan batu ke arag tentera di sempadan.

"Semasa rusuhan tentera IDF menembak secara terpilih ke arah dua pendorong utama dan disahkan terkena tembakan," katanya.

Lebih daripada 80 penduduk Palestin cedera di Tebing Barat dan Gaza akibat terkena tembakan peluru hidup dan peluru getah Israel, demikian menurut perkhidmatan ambulans Bulan Sabit Merah Palestin. Puluhan lagi terhidu gas pemedih mata. Tiga puluh satu orang cedera pada hari Khamis.

Selepas selesai solat Jumaat di Masjid Al Aqsa, para jemaah menuju ke arah pintu Old City, melaungkan "Jerusalem adalah milik kita, Jerusalem ibu negeri kita" dan "Kita tidak memerlukan kata-kata kosong, kita perlu batu dan Kalashnikovs". Pergelutan tercetus antara penunjuk perasaan dan polis.

Di Hebron, Bethlehem dan Nablus, berpuluh-puluh penduduk Palestin membaling batu ke arah tentera Israel yang membalas dengan tembakan gas pemedih mata.

Di Gaza, yang dikawal oleh kumpulan Islam Hamas, gesaan supaya para jemaah bangkit membantah, berkumandang melalui pembesar suara masjid. Hamas menggesa pemberontakan baru Palestin seperti "intifada" daripada 1987-1993 dan 2000-2005, yang bersama-sama menyaksikan ribuan rakyat Palestin dan lebih 1,000 rakyat Israel terbunuh.

"Sesiapa yang memindahkan kedutaan ke Jerusalem akan menjadi musuh rakyat Palestin dan sasaran puak Palestin," kata pemimpin Hamas Fathy Hammad ketika penunjuk perasaan di Gaza membakar poster Trump.

"Kami mengisytiharkan intifada sehingga pembebasan Jerusalem dan semua Palestin."

[Baca berita penuh]

 

Lihat Komen
ADS