Paling Popular
Terkini

Bekas menteri hal ehwal undang-undang, Datuk Zaid Ibrahim, menegaskan beliau tidak akan memohon maaf kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah selagi tidak dibuktikan bersalah.

Beliau turut mempertahankan kenyataan yang dikeluarkan menerusi Twitter sebelum ini.

Katanya ia bukan satu kesalahan sebaliknya dibuat dengan niat untuk menegur pemimpin.

“Saya rasa saya tidak buat silap. (Mohon) maaf itu kalau kita bersalah, ini kecil saja ni.

"Memang tweet itu saya tujukan kepada Sultan Selangor, namun apa kesalahan yang saya lakukan sehingga saya perlu memohon maaf?" katanya

Beliau berkata demikian pada program Dialog Bersama Rakyat sempena perasmian Pusat Daerah Mengundi (PDM) Wakaf Siku dalam kawasan Dewan Undangan Negeri Bunut Payung, Kota Bharu malam tadi.

Majlis itu dianjurkan Parti Amanah Negara (AMANAH) Kelantan.

Terdahulu, Zaid berkongsi satu berita Malaysiakini dengan kapsyen berbunyi "Sultan Selangor perlu berhati-hati dengan titah-titah baginda, tiada siapa yang kebal apabila negara terbakar".

Kenyataan itu menurutnya adalah sebagai reaksi terhadap titah sultan bahawa Pengerusi Pakatan Harapan Tun Dr Mahathir Mohamad akan “membakar seluruh negara dengan api kemarahannya”.

Menurut Zahid untuk memastikan sama ada dia bersalah atau tidak, proses siasatan oleh polis perlu dilaksanakan sebelum diikuti oleh perbicaraan di mahkamah.

"Biar mahkamah tentukan. Tapi setakat ini polis belum panggil saya lagi.

"Jika dipanggil saya akan beri penjelasan, tak ada masalah," katanya.

Mengulas lanjut, bekas ketua Umno dan anggota parlimen Kota Bharu itu berkata, beliau berpendapat kenyataan sultan Sharafuddin adalah tidak wajar dan baginda tidak sepatutnya memcampuri urusan politik.

Katanya, jika sultan berpolitik ia tidak menggambarkan prisip raja berperlembagaan seperti peranan raja pada zaman dahulu.

"Saya merasakan kita sebagai negara maju yang ada sistem demokrasi, jadi saya tegur.

"Saya tegur bukan nak bela sangat Dr Mahathir, tapi nak beritahu pada rakyat bahawa dalam politik, pentadbiran dan polisi, raja-raja berperlembagaan ini tidak boleh memihak," katanya.

Lihat Komen
ADS