Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Menteri dakwa kenyataan 'Tuhan tentukan harga barang' diputar belit
Diterbitkan:  Dec 10, 2017 2:21 PM
Dikemaskini: 1:25 PM

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hamzah Zainuddin mendakwa kenyataannya berhubung harga barangan dan perkhidmatan di Malaysia "terserah kepada Tuhan" telah diputar belit sesetengah media.

Menurut laporan The Star, Hamzah menyatakan rasa kesalnya dengan segelintir media dan ahli politik pembangkang yang memutarbelitkan kenyataannya itu dan menuduh kerajaan tidak melakukan apa-apa untuk menangani masalah kos sara hidup yang tinggi.

"Malah, harga barangan di Malaysia pada masa ini antara yang terendah di Asean.

"Ia menunjukkan kita mengawal harga dengan baik. Kita sebenarnya sangat adil kerana menjaga kedua-dua pihak, peniaga dan pengguna," katanya yang juga anggota Majlis Tertinggi Umno.

Dalam ucapannya di Perhimpunan Agung Umno semalam, Hamzah berkata tindakan kerajaan untuk tidak campur tangan dalam pasaran beabs selaras dengan amalan di zaman nabi Muhammad.

Ketika itu beliau memetik hadis riwayat Abu Daud daripada Anas bil Malik, berkenaan permintaan sahabat Rasulullah yang meminta baginda menetapkan harga barangan untuk mereka.

"Maka baginda menjawab: Sesungguhnya Allah, Dialah yang menetapkan harga, menyempit, meluaskan dan memberi rezeki. Sesungguhnya aku benar-benar berharap untuk bertemu Allah dalam keadaan tidak ada seorang pun yang menuntut kepadaku berkenaan sesuatu kezaliman pada darah dan harta," katanya.

Sarjana berhujah bahawa hadis itu bermakna harga barangan perlu ditentukan pasaran.

Menurut laporan The Star hari ini lagi, Hamzah juga berkata Rasulullah mencegah amalan menentukan harga dan melarang penduduk pada masa itu campur tangan dalam pasaran.

"Nabi Muhammad tidak menyebut secara khusus tentang pasaran bebas, tetapi itulah yang cuba dijelaskan baginda kepada umatnya.

"Apabila anda bercakap tentang pasaran bebas, anda mesti berlaku adil kepada kedua-dua pihak," katanya lagi seperti dipetik.

Lihat Komen
ADS