Paling Popular
Terkini

ULASAN l Saya membaca dengan penuh minat artikel sahabat baik saya - yang juga seorang peguam - Syahredzan Johan dalam kolum beliau di akhbar Sinar Harian.

Beliau nampaknya bersetuju agar digubal satu undang-undang khusus menangani diskriminasi yang tidak adil. Keperluan akta itu disarankan ramai setelah berlakunya insiden wanita yang berkerja di front desk dalam sektor perhotelan dilarang mengenakan tudung atau hijab.

Meskipun Syahredzan mengakui Artikel 8 (2) Perlembagaan Persekutuan melarang diskriminasi antara lain atas isu jantina, beliau bagaimanapun menyatakan masih perlu ada akta khusus melarang diskriminasi yang tidak adil ke atas kakitangan di sektor swasta.

Syahrezan mengatakan begitu kerana Mahkamah Persekutuan pernah memutuskan dalam satu kes - sebelum ini - bahawa perlindungan antidiskriminasi dalam Artikel 8 itu hanya terpakai kepada kakitangan di sektor awam saja.

Dengan rasa hormat, saya rasa cadangan daripada Syahrezan itu - meskipun amat baik - bagi saya, tidak perlu. Kenapa?

Hampakan ramai orang

Pada pandangan saya, ia tidak diperlukan kerana kita sudah ada Perlembagaan Persekutuan. Tapi, mungkin ada yang berhujah bahawa bukankah Mahkamah Persekutuan telah putuskan Artikel 8 itu tidak terpakai kepada kakitangan swasta.

Saya amat arif dengan keputusan Mahkamah Persekutuan itu. Dan saya - dengan tanpa rasa segan silu - berkata Mahkamah Persekutuan itu jelas tersilap. Bagi saya, mahkamah - dalam kes itu, dengan penuh hormat - telah menghampakan begitu ramai orang, termasuk saya.

Semua hakim yang dilantik diwajibkan perlembagaan mengangkat sumpah bagi memelihara, melindungi dan mempertahankan perlembagaan (lihat Jadual Keenam Perlembagaan Persekutuan).

Justeru tindakan para hakim Mahkamah Persekutuan itu - bagi saya, dengan hormat - bertentangan sekali dengan sumpah dan ikrar yang mereka lafazkan.

Dan saya mempunyai banyak pengalaman berhadapan dengan para hakim seperti itu dan ia amat, amat mengecewakan.

Perlembagaan negara ini - pada saya - ialah identiti kebangsaan (a national identity) rakyat negara ini dan kerana itu ia sewajarnya melindungi hak dan kepentingan semua orang, tidak kira di sektor apa dan di mana pun.

Hakikatnya, kewujudan mahkamah itu sendiri adalah hasil buah tangan Perlembagaan Persekutuan. Jadi, amat ganjil sangat apabila ada hakim yang seolah-olah tidak mahu melindungi kepentingan rakyat di atas nama dan ruh perlembagaan.

Tak terikat doktrin duluan

Justeru itu, apa yang diperlukan - bagi saya - bukan undang-undang dalam bentuk akta atau enakmen bagi menghalang antidiskriminasi. Hatta istilah antidiskriminasi tidak adil itu sendiri adalah istilah yang tidak tepat (a misnomer) kerana diskriminasi itu sendiri adalah secara inherennya sudah berbentuk tidak adil.

Apa yang perlu ialah kerajaan dan seluruh agensi di bawahnya diberi pendidikan yang betul dan tepat dalam memahami tasawwur dan ruh perlembagaan.

Begitu juga para hakim. Malahan merekalah yang paling penting kerana ia adalah sebahagian fungsi dan tanggungjawab mereka.

Satu perkara yang menarik tentang perlembagaan ialah, tidak seperti akta atau undang-undang lain, ia digelar dokumen sui juri (yang berdiri sendiri) dan tidak terikat dengan doktrin duluan (precedent) atau yang juga dipanggil stare decisis.

Dalam bahasa mudah, meskipun telah ada precedent hatta oleh mahkamah yang paling tinggi dalam negara ini yang mentafsirkan Artikel 8 itu tidak terpakai kepada kakitangan swasta, keputusan itu tidak boleh mengikat mana-mana mahkamah lain, hatta mahkamah yang lebih rendah daripada Mahkamah Persekutuan.

Maknanya, mungkin dalam kes yang lain - yang barangkali melibatkan juga tafsiran Artikel 8 itu - para hakim masih boleh saja menyimpang dan enggan terikat dengan keputusan Mahkamah Persekutuan sebelum ini.

Di sinilah indahnya perlembagaan. Jadi yang diperlukan bukan akta yang khusus, sebaliknya inisiatif berterusan untuk memastikan Perlembagaan Persekutuan dipelihara, dilindungi dan dipertahankan khususnya ketika hak orang ramai di waktu genting sedang dirobek-robek oleh elemen-elemen yang mabuk dengan kuasa.


MOHAMED HANIPA MAIDIN seorang peguam dan anggota parlimen Sepang. 

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS