Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Jamal dedah DAP mahu Zaid jadi MB Selangor
Diterbitkan:  Dec 12, 2017 2:51 PM
Dikemaskini: 7:34 AM

Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos mendakwa beliau menerima maklumat dalaman mengenai rancangan DAP menjadikan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Zaid Ibrahim sebagai menteri besar Selangor selepas pilihan raya umum akan datang.

“Zaid Ibrahim adalah ahli DAP, perancangan DAP datripada dalaman kerana dalam DAP sekarang ada orang-orang Melayu, jadi benda (maklumat) ini bocor daripada kawan-kawan Melayu yang berada di dalam DAP itu.

“DAP telahpun menyusun atau ingin mencipta menteri besar yang baru setelah pilihan raya umum yang akan datang.

“Kita tahu DAP sekarang ini pun tidak berapa sebulu dengan (Menteri Besar Datuk Seri Mohamed) Azmin Ali dan ingin menjadikan Zaid sebagai MB Selangor selepas PRU-14,” katanya pada satu sidang media di Ampang, hari ini.

Jamal mendakwa bahawa DAP yakin bahawa parti itu akan meraih sebahagian besar kerusi negeri jika Pakatan Harapan mengekalkan Selangor pada pilihan raya akan datang.

“Mereka akan menuntut wakil rakyat daripada DAP menjadi menteri besar. Jadi calon daripada DAP adalah Zaid menjadi menteri besar setelah PRU-14.

“Jadi inilah kebimbangan bagaimana seorang yang begitu biadap dan kurang ajar terhadap sultan Selangor ingin dijadikan sebagai menteri besar setelah PRU-14?” soalnya.

Minggu lalu, Zaid menimbulkan kemurkaan pihak istana Selangor melalui tweetnya mengenai kenyataan Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Baginda bahkan memberitahu anggota DAP itu supaya kembali ke negeri asalnya di Kelantan jika tidak bersetuju dengan pandangannya.

Zaid berpendapat bahawa beliau tidak melakukan sebarang kesalahan tetapi tweetnya dianggap kurang sopan dan kini menjadi subjek siasatan di bawah Akta Hasutan.

Jamal adalah antara pemimpin Umno yang tampil mempertahankan sultan, dengan dengan menghayunkan tukul seberat 5 kilogram ke atas patung Zaid.

Ulasan Zaid di media sosial adalah sebagai mengulas kenyataan sultan bahawa “kemarahan” bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad akan “membakar” seluruh negara.

Baginda juga menganggap Mahathir sebagai seorang tidak mahu penggantinya mengatasi legasinya serta mempunyai"kebencian yang mendalam".

Lihat Komen
ADS