Lim: Penggantungan operasi WAfm tiada kaitan dengan kementeriannya
Terjemahan Kerajaan tidak bertanggungjawab terhadap penggantungan sementara operasi stesen radio tempatan berbahasa Cina Wafm.
Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi, Datuk Seri Dr Lim Keng Yaik menjelaskan, ia adalah keputusan pemilik stesen itu sendiri dan tiada kena mengena dengan kementeriannya.
"Kami menerima banyak pertanyaan dari media dan orang ramai mengenai perkara tersebut. Sesetengah daripada mereka salahfaham dan menganggap ia adalah tindakan kementerian. Kita mesti perjelaskan bahawa ia adalah keputusan perniagaan syarikat itu sendiri," katanya dalam satu kenyataan melalui pegawai akhbarnya, Tan Chuan Koon.
"Kami berharap semua pihak kini sudah memahami hakikat tersebut (bahawa ia tiada kena mengena dengan pihak kementerian) bagi mengelak sebarang salahfaham mengenainya," tambah Lim.
Menteri itu berkata, beliau memandang berat penggantungan sementara stesen berkenaan dan akan memantau perkembangannya.
Semalam, pemilik stesen tersebut Synchrosound Studio Sdn Bhd mengumumkan yang operasi stesen tersebut digantung sementara mulai 15 Oktober ini, untuk proses penstrukturan semulanya.
"Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi telah dimaklumkan mengenai keputusan tersebut," kata kenyataan syarikat tersebut.
Media Prima
Ia juga menyatakan, skim penstrukturan hutang syarikat berkenaan dijangka siap menjelang hujung tahun ini dan stesen itu dijadualkan menyambung semula operasinya selepas itu.
Pada 13 Julai lalu, para pemegang saham Synchrosound Studio serta stesen TV tempatan, NTV7 telah menandatangani 'perjanjian bantuan dan kerjasama' dengan Media Prima Berhad yang juga memiliki TV3 , 8TV dan Channel 9 (dijangka beroperasi semula tahun depan) dan mempunyai pegangan 43 peratus ekuiti kumpulan New Straits Times Press (NSTP).
Menurut kenyataan itu lagi, di bawah perjanjian itu, Media Prima akan memanfaatkan kepakarannya untuk membantu Synchrosound Studio menjayakan skim penstrukturan hutang dan korporat.
Bulan lalu, khabar angin bertiup kencang mengenai operasi WAfm akan digantung pada 31 Ogos kerana didakwa telah melanggar syarat-syarat lesen penyiaran, kerana pada awalnya, stesen radio itu sepatutnya menyiarkan program dalam bahasa Cina dan bahasa Melayu, dan bukan dalam bahasa Cina semata-mata.
Bagaimanapun, selepas mendapat bantahan awam, syarikat berkenaan kemudiannya memperjelaskan bahawa WAfm akan meneruskan operasinya seperti biasa.
Pemuda MCA kecewa
Dalam perkembangan berkaitan, Setiausaha Agung Pemuda MCA, Dr Wee Ka Siong melahirkan rasa kecewanya berikutan penggantungan sementara operasi Wafm.
Katanya, stesen tersebut tidak perlu digantung operasinya walaupun pihak syarikat berkenaan melaksanakan skim penstrukturan semula.
"Adalah tidak jelas dalam bentuk dan bahasa apa stesen akan beroperasi selepas selesai proses penstrukturan semula itu," katanya ketika dihubungi malaysiakini.
Menurutnya, Pemuda MCA akan memberi pandangannya berhubung perkara tersebut kepada pihak pengurusan stesen itu dan kepada kementerian yang berkaitan.
For more news and views that matter, subscribe and support independent media for only RM0.36 sen a day:
Subscribe now