Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Sekat ekstremisme, liberallisme dari masuki masjid, surau

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah mengingatkan pegawai-pegawai agama di masjid dan surau di negeri itu supaya tidak bersekongkol mengajak orang ramai terbabit dengan kegiatan ekstremis atau liberalisme.

Baginda turut bertitah agar imam dan pegawai agama Selangor sentiasa mempertahankan kesucian ajaran Islam.

“Beta pernah dimaklumkan bahawa terdapat golongan tertentu di kalangan umat Islam yang telah terpesong dengan ajaran Islam sebenar sehingga menganggap pembunuhan yang dilakukan terhadap sesama manusia adalah satu jihad yang dituntut oleh Allah.

“Fahaman dan ikutan sebegini amat berbahaya jika dibiarkan menular di kalangan umat Islam kerana boleh menyebabkan pembunuhan sesama umat Islam dan perpecahan umat Islam seperti yang berlaku di beberapa buah negara Teluk kebelakangan ini.

“Oleh itu, beta mahu imam-imam dan pegawai-pegawai agama sentiasa memantau kegiatan ekstremis ini agar ianya tidak berlaku dan bertapak di negeri Selangor,” titahnya.

Sultan Sharafuddin bertitah demikian ketika majlis istiadat pengurniaan watikah pelantikan anggota Majlis Agama Islam Selangor bagi sesi 2018 hingga 2020 di Istana Alam Shah, Klang hari ini.

Baginda juga menyeru semua imam-imam dan pegawai-pegawai masjid memastikan penceramah dan ustaz-ustaz yang memberi ceramah di masjid-masjid dan surau di dalam negeri Selangor ini mendapat tauliah yang sewajarnya sebelum dibenarkan mereka untuk berceramah.

“Ceramah-ceramah mereka juga perlu dipantau agar tidak menyeleweng dari ajaran Islam sebenar dan mengelirukan masyarakat Islam.

“Perkara ini telah selalu beta tegaskan sebelum ini namun masih terdapat imam-imam dan pihak nazir masjid yang masih ingkar dan tidak mematuhi titah beta hingga menyebabkan berlaku ajaran-ajaran dan ceramah-ceramah yang mengelirukan masyarakat Islam berlaku di masjid-masjid dan surau di negeri ini,” titahnya.

Justeru baginda mengingatkan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) sebagai badan agama tertinggi di negeri itu supaya sentiasa tegas mengambil tindakan sewajarnya terhadap mereka yang melanggar titah baginda dan peraturan yang telah ditetapkan.

Lihat Komen
ADS