Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Peguam: Cukup berdrama, jangan buang masa orang tua itu

Selepas lima kali polis merakamkan percakapan Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung pelbagai siasatan, peguamnya, Mohd Hanif Khatri Abdulla, berkata polis harus mendakwa bekas perdana menteri itu jika beliau benar-benar melakukan kesalahan.

"Jika mahu mendakwa, dakwalah. Jangan buang masa orang tua itu. Perkara seperti ini, kamu tidak perlu siasat seperti kes bunuh atau rogol.

"Kami tak kisah nak tanya (isu) Bugis ke tanya RCI (forex), kami dah sedia jawab. Tetapi janganlah berdrama,” katanya kepada wartawan di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya sejurus selepas polis selesai merakamkan kenyataan Mahathir.

Haniff berkata enam anggota polis dari Bukit Aman tampil di pejabat Mahathir dan menghabiskan masa selama 45 minit untuk merakamkan kenyataannya. Beliau menambah bahawa mereka mengemukakan sejumlah 32 soalan.

“Tun (Dr Mahathir) telah memberi kerjasama dan menjawab setakat beliau boleh jawab, dan setakat yang perlu dijawab di mahkamah, Tun telah pun memegang hak untuk menjawab di makhamah.

“Soalan berjumlah 32, iaitu 22 berdasarkan merit dan 10 lagi mengenai prosedur. Helaian sebanyak tujuh muka surat telah ditaip dan dicetak,” katanya.

Menurut Haniff terdapat sedikit salah faham dalam sisatan hari ini kerana pihaknya dimaklumkan pada peringkat awal bahawa polis akan merakamkan percakapan berhubung laporan polis yang dibuat oleh setiausaha Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) yang menyiasat kerugian urus niaga mata wang asing Bank Negara pada 30 November lalu.

“Tapi apabila mereka sampai hari ini, baru kami dimaklumkan oleh pasukan polis ini adalah untuk kenyataan (dakwaan menghina) Bugis. Sedangkan tak silap saya, semalam laporan Ketua Polis Negara mengatakan bahawa siasatan itu masih dijalan dan Tun akan dipagil kemudian nanti.

“Tiba-tiba hari ini pula yang datang bukan untuk RCI... kami tak kisah, nak tanya apa pun, kami dah sedia jawab,” katanya.

Beliau berkata perkara itu sedang disiasat di bawah Akta Hasutan 1948, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 504 Kanun Keseksaan.

Haniff berkata Mahathir menegaskan kepada polis bahawa kenyataan "lanun Bugis" yang dibuatnya hanya merujuk kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan bukannya orang lain.

Mahathir membuat kenyataan itu semasa perhimpunan pada Oktober lalu dan beliau kemudiannya dituduh menghina masyarakat Bugis.

Beliau juga mengundang kemurkaan daripada istana Johor dan Selangor yang mempunyai warisan Bugis.

Lihat Komen
ADS