Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Bekas ketua polis negara, Tan Sri Musa Hassan menepis dakwaan bahawa ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan tahanan politik.

Musa berkata tiada istilah atau banduan seumpama itu di negara ini meskipun ketika era kewujudan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang membenarkan penahanan tanpa bicara suatu masa dahulu.

“Kadang-kadang saya pun hairan macam mana orang kata di Malaysia ini ada tahanan politik.

"Pada saya di Malaysia ini tidak pernah ada tahanan politik walaupun semasa ada ISA," kata Musa dalam sidang media di Shah’s Village Hotel, Petaling Jaya, hari ini.

Semalam, Pengerusi Pakatan Harapan Tun Dr Mahathir Mohamad dan peguam dari Amerika Syarikat Kimberly Motley menggesa kerajaan segera membebaskan Anwar.

Menyifatkan Anwar sebagai tahanan politik, kedua-dua mereka juga menggesa bekas ketua pembangkang yang berusia 70 tahun itu dibebaskan untuk menjalani rawatan.

Kena ISA tapi boleh jadi menteri

Musa berkata meskipun suatu masa dahulu ada ahli politik ditahan di bawah ISA, mereka masih berpeluang menyertai pilihan raya dan dilantik sebagai menteri atau ketua pembangkang.

Keadaan itu katanya berbeza dengan di Myanmar apabila pemimpin prodemokrasi seperti Aung San Suu Kyi dikenakan perintah tahanan rumah dan tidak boleh melibatkan diri dengan politik.

Begitu juga keadaan sama di Afrika Selatan apabila Nelson Mandela dipenjarakan kerana memimpin gerakan untuk menentang dasar Apartheid di negara itu, kata Musa.

"Tetapi kita walaupun dulu ada ISA, menteri-menteri yang pernah kena tangkap lepas itu mereka boleh masuk politik.

"Mereka boleh menang pilihan raya, boleh jadi menteri, boleh jadi ketua dan macam-macam lagi,” katanya.

Malah Musa berkata seseorang ahli politik yang ditahan di bawah ISA juga masih boleh membuat rayuan di mahkamah untuk mencabar penahanannya.

“Tidak ada (undang-undang) mengatakan bahawa orang ni tak boleh pergi mahkamah, kes dia tak boleh didengar oleh hakim.

"Bagi saya keadilan itu saksama yang telah wujud dalam negara ini,” katanya.

Lihat Komen
ADS