Pemaju Lebuhraya Lembah Klang Timur (EKVE) memohon maaf berhubung kejadian banjir lumpur di kawasan Hulu Langat, terutama di Kampung Felcra Sungai Semungkis berhampiran tapak pembinaan lebuh raya itu sebanyak dua kali tahun ini.
Pengurus Besar Kanan EKVE Sdn Bhd, Mohd Khalid Mohamed berkata syarikat itu komited untuk memastikan masalah tersebut selesai setelah beberapa langkah tebatan dilaksanakan dan akan ditambah baik dari semasa ke semasa.
Beliau tidak menafikan kerja pembinaan berhampiran kawasan itu menjadi punca banjir tersebut, tetapi menjelaskan bahawa beberapa cerutan di Sungai Gahal yang mengalir di kawasan berkenaan dan hujan lebat turut menjadi penyumbang kepada masalah itu.
“Ini bukan kali pertama kawasan itu dilanda banjir. Sebelum pembinaan (pada Mei 2016), ada berlaku banjir kecil. Apa yang kami lakukan ialah memasang pembetung di sepanjang lebuh raya itu dan memandangkan semua aspek sistem saliran kini sudah siap dilaksanakan, maka air dari hutan akan mengalir terus ke kolam takungan kami dan Sungai Gahal, tidak lagi melibatkan kawasan terjejas.
“Bagi Felcra Semungkis, kami juga telah mengenal pasti cerutan yang menyebabkan sungai itu menjadi cetek dan kini kami mendalamkan dan melebarkannya, membina batas dengan kebenaran penduduk, lebih kurang di empat tempat (di sepanjang Sungai Gahal), dan kami akan lakukannya dari semasa ke semasa,” katanya dalam taklimat kepada media di sini hari ini.
Banjir lumpur itu berlaku Jun lepas dan paling buruk pada Oktober. Berikutan aduan yang banyak diterima daripada penduduk tentang banjir lumpur yang berlaku pada Oktober itu, Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengeluarkan perintah berhenti kerja, sehinggalah pemaju selesai menjalankan kerja pembaikan dan pemulihan.
Apabila siap dibina, EKVE merupakan jalan berkembar dengan plaza tol di lima persimpangn iaitu di Sungai Long, Bandar Mahkota Cheras, Hulu Langat, Ampang dan Ukay Perdana.
Pembinaannya mendapat lampu hijau daripada Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) pada Ogos 2015 dan diwartakan dalam Deraf Rancangan Tempatan MPAJ Bagi 2020 pada 2011.
Mohd Khalid berkata perintah berhenti kerja itu ditarik balik JAS melalui sepucuk surat diterima syarikat berkenaan Jumaat lepas, yang berserta syarat-syarat tertentu.
Katanya, syarikat itu juga mengadakan perjumpaan dengan penduduk Sabtu lepas bagi mendapatkan input berkaitan cara untuk menambah baik langkah mengelak banjir di kawasan berkenaan .
Menurut beliau, lebuh raya itu dijadual siap pada September 2019.
- Bernama
