Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
IMAMS dibatal sehari selepas dikuat kuasa
Diterbitkan:  Dec 16, 2017 5:20 PM
Dikemaskini: 2:32 PM

Sehari selepas dikuatkuasakan, Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan (Motac) hari ini mengumumkan pembatalan pelaksanaan sistem Pemantauan Manasik Bersepadu (IMAMS) bagi permohonan visa umrah.

Ketua Setiusahanya, Datuk Rashidi Hasbullah berkata, pembatalan itu dibuat selepas mengambil kira aduan orang ramai dan pihak berkaitan dengan industri, lapor Astro Awani.

Perkara itu turut diumumkan oleh Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Mas Ermieyati Samsudin dalam kenyataan ringkas di laman sosialnya hari ini.

Menurut Bernama difahamkan pihak kementerian akan mengadakan sidang media di Pusat Pelancongan Malaysia (Matic) di Jalan Ampang di Kuala Lumpur pada 6 petang ini.

Semalam, Mas Ermieyati memberitahu kesemua 65 agensi pelancongan berstatus muassasah yang mempunyai Lesen Khas Umrah (LKU) diwajibkan menggunakan IMAMS bagi permohonan visa umrah, berkuat kuasa serta merta.

Katanya, sistem itu dilaksanakan bertujuan untuk menutup ruang penipuan pakej umrah di negara ini.

"Kegagalan pihak yang menguruskan jemaah umrah untuk mematuhi arahan ini akan diambil tindakan keras oleh kementerian dan boleh menyebabkan lesen perniagaan mereka dibatalkan," katanya pada sidang media di Putrajaya semalam.

Pelaksanaan sistem ini melibatkan caj pada kadar RM45 dan insurans takaful umrah pada kadar RM40 bagi setiap jemaah termasuk caj Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) sebanyak RM5.10.

Terdahulu pagi ini Motac dalam satu kenyataan dipetik Bernama berkata IMAMS perlu memastikan kakitangan syarikat tersebut hanya terdiri daripada individu beragama Islam.

Keputusan tersebut diambil bagi melindungi kepentingan dan sensitiviti agama Islam.

“Susulan pelancarannya, pelbagai reaksi diterima oleh MOTAC terhadap inisiatif tersebut.

“Dalam hal ini, lembaga pengarah syarikat IMAMS adalah terdiri daripada warganegara Malaysia beragama Islam, manakala pemegang saham syarikat adalah daripada warganegara Malaysia beragama Islam dan syarikat-syarikat tempatan,” menurut kenyataan itu.

 

 

Lihat Komen
ADS