Ahli Parlimen DAP, Tony Pua mahu tahu apa sebenarnya Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) jika ia bukan terminal kos rendah seperti yang dinafikan oleh Malaysia Airports Holdings BHD (MAHB).
"Jadi, bukan hanya KLIA2 bukan 'terminal murah',” kata Pua dalam satu kenyataan, merujuk pengumuman Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Ab Aziz Kaprawi pada Julai 2013 bahawa KLIA2 akan menjadi lapangan terbang hibrid pertama di negara ini.
Pengumuman ketika itu, kata Pua, dibuat sebagai alasan membenarkan kenaikan kos terminal dari RM1.7 bilion kepada lebih daripada RM4 bilion.
"Rakyat Malaysia betul-betul keliru dengan pertukaran istilah dan definisi yang tidak konsisten tentang apa sebenarnya tujuan dan niat KLIA2," kata Pua.
Walau bagaimanapun, risalah dari laman web MAHB sendiri menyatakan bahawa KLIA2 adalah sebagai terminal terbesar bagi syarikat penerbangan tambang rendah, katanya.
"Jadi mana yang betul? Risalah pemasaran di laman web MAHB atau kenyataan terbaru untuk menyangkal kesalahan akibat kenaikan besar-besaran dalam caj perkhidmatan penumpang (PSC) di KLIA2?
"Walau bagaimanapun, tidak kira sama ada MAHB mahu melabelkan KLIA2 sebagai 'lapangan terbang hibrid' seperti pada tahun 2013 atau ‘terminal tetap kedua KLIA’ seperti yang berlaku semalam, hakikatnya KLIA2 sentiasa sejak diluluskan oleh kabinet, dimaksudkan secara khusus untuk berfungsi sebagai 'terminal kos rendah' baru bagi menggantikan LCCT lama."
