Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Suara dari hati paling dalam Cikgu Azizan
Diterbitkan:  Dec 19, 2017 5:06 PM
Dikemaskini: 9:35 AM

Selain kelegaan dan rasa bersyukur, sebenarnya ada lagi harapan yang diimpikan Cikgu Azizan selepas dia dilepaskan daripada tuduhan mencederakan anak muridnya.

Ditemui media di luar Mahkamah Majistret Seremban, Negeri Sembilan hari ini Cikgu Azizan berkata dia berdoa supaya kerjaya perguruan kembali dimartabatkan.

"Dari lubuk hati saya, saya ucapkan terima kasih tak terhingga kepada semua orang yang menyokong saya.

"Hanya Allah saja mampu membalasnya.

"Saya juga doakan profesyen perguruan ni dimartabatkan semula," katanya yang jelas sebak selepas majistret membuat keputusan mengenai kesnya pagi tadi.

Kes Cikgu Azizan menjadi perhatian ramai dan tular di media sosial apabila dia sepatutnya dibicarakan di mahkamah tadi pagi.

Tiada dendam di hati

Tertuduh - Azizan Manap - mengajar di Sekolah Kebangsaan Taman Semarak, Nilai. Guru berusia 44 tahun itu didakwa mencederakan seorang pelajar berusia 11 tahun di kawasan perhimpunan sekolah terbabit kira-kira jam 7 pagi pada 6 April lalu.

Nasib menimpa Cikgu Azizan turut mendapat pembelaan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP).

Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid pula semalam tidak menghalang mana-mana guru yang ingin berhimpun sebagai tanda sokongan kepada rakan sejawatan mereka yang berdepan kes mahkamah.

"Saya tiada halangan jika guru ingin berhimpun bagi menyatakan sokongan kepada rakan mereka yang terlibat dalam kes mahkamah.

"Kalau jadi pada rakan kita, kita juga akan hadir, begitu juga dengan warga guru," kata Mahdzir.

Ditanya lebih lanjut oleh media Cikgu Azizan berkata dia sudah memaafkan pelajar dan ibu bapa terbabit yang membuat laporan kepada polis mengenai tindakannya.

Walaupun tindakan itu menyebabkan dia terpaksa ke mahkamah, Cikgu Azizan berkata, dia juga tidak berdendam apa-apa kepada sesiapa.

Malah dia berazam untuk bekerja dengan lebih baik.

"Saya doakan (pelajar itu) menjadi anak yang baik, manusia yang berguna," katanya.

Keputusan melepas tanpa membebaskan Azizan itu dibuat majistret Mohd Zaki Abd Rahman selepas timbalan pendakwa raya, Hazeelya Muhammad, memberitahu pihak pendakwaan menerima arahan daripada Peguam Negara supaya tuduhan terbabit ditarik balik.

Kira-kira 300 orang yang berada di luar mahkamah bersorak gembira sebaik saja Cikgu Azizan muncul dari dalam kamar selepas keputusan dibuat.

Tertuduh hadir di pekarangan mahkamah itu kira-kira jam 8.30 pagi.

Turut hadir memberi sokongan ialah Presiden NUTP, Kamarozaman Abd Razakin dan Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Azih Muda.

Cikgu Azizan dituduh mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan jika dia disabitkan bersalah, boleh dipenjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya.

Francis Pereira bertindak sebagai peguam bela tertuduh. Kes berkenaan disebut untuk kali pertama pada 31 Oktober lalu dan majistret menetapkan hari ini untuk perbicaraan.

Lihat Komen
ADS