Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Suspek cabul pengguna LRT ditahan polis
Diterbitkan:  Dec 20, 2017 9:56 AM
Dikemaskini: 2:14 AM

Polis telah menahan seorang suspek lelaki warga India berkaitan kes cabul penumpang Transit Aliran Ringan (LRT) di Stesen LRT Masjed Jamek di Kuala Lumpur Khamis lalu.

Menurut laporan Berita Harian semalam, Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mazlan Lazim berkata, suspek berusia 28 tahun itu turut disyaki terlibat dengan dua kes serupa di Petaling Jaya dan Seapark, pada hari yang sama.

"Kita akan siasat sama ada suspek turut terbabit dengan satu lagi kes cabul yang berlaku di Kuala Lumpur pada hari sama membabitkan seorang wanita berusia 25 tahun yang berlaku ketika dia dalam perjalanan dari Stesen LRT Pasar Seni ke LRT Masjid Jamek.

"Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam itu, mangsa mendakwa suspek yang mencabulnya adalah seorang lelaki berkulit gelap," katanya seperti dipetik.

Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat, atau mana-mana dua hukuman itu, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, mangsa dalam kenyataan polis mendakwa dicabul ketika berada di eskelator stesen LRT Masjid Jamek pada 14 Disember lalu.

"Lelaki terbabit melarikan diri serta-merta tetapi seorang rakan mangsa sempat merakam gambar suspek terbabit," katanya.

Kejadian tersebut menjadi perhatian keesokannya apabila seorang pengguna Twitter dikenali sebagai Dhabita Zainal menceritakan bagaimana rakannya diserang.

Dhabitah mendakwa seorang lelaki telah mengeluarkan kemaluan dan menggeselkannya pada punggung mangsa.

RapidKL pada mulanya menyatakan seorang suspek telah ditahan dan diserahkan kepada polis, namun difahamkan suspek itu adalah untuk kes cabul yang lain.

Dalam pada itu, Mazlan berkata polis akan bekerjasama dengan pihak keselamatan LRT untuk agar rondaan boleh dibuat dengan lebih kerap.

"Selain itu, kita minta kerjasama orang ramai supaya tidak mudah percaya dengan penyebaran maklumat di laman sosial tanpa sumber tepat daripada pihak polis," katanya lagi seperti dipetik.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS