Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
NUTP tuntut kod etika elak guru 'diserang'
Diterbitkan:  Dec 20, 2017 11:51 AM
Dikemaskini: 4:01 AM

Selepas peristiwa melibatkan Azizan Manap atau Cikgu Azizan, Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) mendesak pelaksanaan segera kod etika ibu bapa atau penjaga bagi “melindungi guru”.

Presiden NUTP Kamarozaman Abd Razak berkata kod itu tidak boleh ditangguhkan bagi melindungi guru jika "diserang", seperti mana yang berlaku terhadap Cikgu Azizan, lapor Berita Harian.

Menjadikan kes Azizan sebagai kes contoh, Kamarozaman berharap guru disiplin dapat menjalankan tugas dengan penuh berhemah selepas ini, tidak seperti sekarang yang “seolah-olah tangan mereka telah diikat dari belakang”.

“NUTP sedang menyediakan cadangan kod etika ibu bapa/penjaga untuk dijadikan sebagai panduan atau tatacara ibu bapa ketika berurusan dengan guru.

“Kod etika itu juga nanti akan memastikan maruah dan emosi guru-guru tidak terjejas akibat tekanan berpunca daripada serangan ibu bapa yang tidak berpuas hati terhadap mereka.

“NUTP berharap masyarakat dapat memberi lebih perlindungan kepada guru-guru dalam menguruskan hal-hal disiplin dengan lebih berkesan,” beliau dipetik sebagai berkata.

Mahkamah Majistret Seremban semalam melepas tanpa membebaskan Azizan, 44, guru Sekolah Kebangsaan Taman Semarak, Nilai, daripada pertuduhan mencederakan murid Oktober lalu.

Dia ditahan selepas dikatakan menampar seorang pelajar yang didakwa melakukan kesalahan disiplin berat dan berulang, antaranya, menghidu gam, bergaduh, ponteng kelas dan membuli pelajar lain.

Sementara itu, NUTP juga mencadangkan semua guru-guru diberi latihan khusus untuk menangani masalah disiplin khususnya bagi kes yang berulang, kes berat atau kritikal.

NUTP juga berharap warga pendidik diberi ruang oleh masyarakat agar dapat mengekalkan keharmonian dalam mendisiplinkan murid di sekolah agar aspirasi Transformasi Nasional 2050 (TN50) dicapai.

'Tak pertahan guru sengaja dera murid'

Sementara itu, Setiausaha Agung NUTP Harry Tan Huat Hock pula menegaskan NUTP tidak akan mempertahankan guru yang sengaja mendera dan mencederakan murid sehingga berlaku pendarahan atau kemudaratan.

Sokongan ibu bapa dan penjaga melalui PIBG terhadap guru dan sekolah mestilah secara sepenuhnya bagi membina keyakinan diri guru dalam mendidik anak bangsa tanpa ada pengaruh luar.

NUTP tahun lalu menyerahkan cadangan kod etika berkenaan kepada Kementerian Pendidikan tetapi sehingga sekarang badan itu mendakwa masih belum ada tindakan.

Kod etika itu antara lain memberi garis panduan kepada ibu bapa dan penjaga apabila masuk ke kawasan sekolah dan berurusan dengan guru dan pihak pentadbir sekolah.

Lihat Komen
ADS