Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Ketika terdapat kalangan rakyat Malaysia naik berang berikutan kenyataan kasar yang dirasakan sebagai penghinaan terhadap keturunan Bugis baru-baru ini, lain pula kisahnya di seberang Tambak Johor, di mana satu pameran sedang berlangsung bagi memberi pencerahan mengenai sejarah masyarakat Bugis.

Pameran Sirri na Pesse menyingkap pelbagai aspek identiti masyarakat Bugis, iaitu golongan yang telah mengukir nama dalam sejarah rantau ini sebagai kerabat diraja yang bercita-cita tinggi, pedagang yang berjaya serta pahlawan-pahlawan hebat, dan pastinya mereka bukanlah kalangan penyamun seperti yang didakwa oleh segelintir rakyat di Malaysia.

Sesuai dengan tajuk pameran dalam bahasa Bugis yang berlandaskan nilai-nilai yang menjadi teras masyarakat berkenaan iaitu Sirri (Kehormatan) dan Pesse (Harga diri), penulis mendapati pameran yang dianjurkan oleh Taman Warisan Melayu Singapura (TWM) sangat memanfaatkan terutamanya setelah polemik Bugis hangat diperkatakan dalam arena politik Malaysia.

Pameran yang diadakan di Istana Kampung Gelam di Singapura dan akan berlangsung hingga 24 Jun, 2018 itu menyusuri asal-usul dan perkembangan masyarakat Bugis, yang membentuk satu kumpulan kecil sub-etnik Melayu di Singapura.

Masyarakat Bugis telah menjadi sebahagian daripada sejarah Singapura yang kaya dengan khazanahnya tersendiri. Terdapat bukti bahawa mereka memainkan peranan penting sebagai pengantara perdagangan bagi British East India Company.

Turut dipamerkan adalah, sepucuk surat kepada Gabenor-Jeneral India pada 1800 yang menyatakan bahawa; “Pada abad ke-19, Bugis memperoleh reputasi sebagai ‘orang yang sangat dipercayai’ di rantau ini sehinggakan British mendapati tanpa mereka adalah mustahil untuk terus berurusan di rantau ini.”

TWM dalam kapsyennya pada pameran itu menyatakan bahawa kehadiran para pedagang Bugis di Singapura pada awal abad ke-19 sangat jelas, di mana pulau ini sudah menjadi hab perdagangan yang sibuk. Sejarah juga menyatakan bahawa pedagang Bugis belayar sejauh Yaman dan mereka tinggal di kapal berkenaan.

“Ketika itu, peniaga Bugis digambarkan sebagai pengembara yang berpengalaman di rantau ini. Mereka akan melangkah keluar dari kapal pinisi, iaitu kapal layar tradisional Bugis, membawa kotak menyimpan perhiasan yang halus berukir, lengkap dengan petak-petak khusus, dan diisi pula dengan pelbagai barangan termasuk barang-barang kemas yang sangat bernilai.

“Sebahagian daripadanya akan ditukar atau dijual, dan meninggalkan pantai Singapura; yang lainnya akan kekal di sini, kekal sebagai barangan berharga dan pusaka turun-temurun sehingga ke hari ini,” menurut satu kapsyen lain pada pameran itu.

Warisan turun-temurun

Hari ini, objek-objek berkenaan berfungsi sebagai bukti nyata yang menjadi kebanggaan warisan turun-temurun masyarakat Bugis. Setiap daripadanya mempunyai pelbagai kisah dan kenangan mengenai pedagang-pedagang terawal yang belayar ke Singapura, yang sejarahnya berkait rapat dengan kisah Singapura sebagai bandar pelabuhan.

Sebahagian daripada 40 objek yang dipamerkan adalah warisan berharga milik peribadi anggota masyarakat Bugis warga Singapura, seperti pakaian-pakaian warisan yang dipakai semasa upacara perkahwinan tradisional Bugis yang masih diamalkan hingga ke hari ini.

Antara yang menarik pada pameran itu adalah kotak perhiasan yang halus buatannya yang berasal dari Sulawesi, lengkap dengan petak-petak khusus selain senarai inventori barang kemas serta catatan pemberi pinjaman.

Senarai inventori termasuk pelbagai kalung berlian, asbak (tempat abu rokok) buatan emas, beberapa kerongsang berlian dan beberapa helai baju kurung yang halus buatannya.

Penempatan masyarakat Bugis dalam jajahan British juga menjadikan mereka subjek menarik dalam kalangan para mubaligh sehinggakan mereka menerbitkan buku panduan mengenai bahasa Bugis.

Buku panduan A Vocabulary of the English, Bugis and Malay Languages, mengandungi kira-kira 2,000 perkataan diterbitkan oleh Mission Press pada 1833 dan antara artifak pada pameran itu.

Buku panduan haji oleh Husain Abdul Rahman Bugis yang mengandungi beberapa doa yang perlu dibaca semasa perjalanan haji turut dipamerkan.

Nama pengarang yang mengandungi perkataan ‘Bugis’ menunjukkan ikatannya dengan masyarakat Bugis, dan buku panduan itu - terdiri dari beberapa halaman - ditulis dalam lontara Bugis dan skrip Arab.

Salasilah yang ditaip pada abad ke-20 oleh Raja Adnan Raja Salaman (1929-2005) menggunakan mesin taip Hanimex 'Regal', juga antara artifak yang dipamerkan.

Raja Adnan adalah seorang daripada cucu Raja Ali (Tengku Nong) Raja Muhammad (1869-1955), dari kerabat diraja Riau-Lingga, yang kemudiannya menggunakan mesin taip untuk merekodkan salasilah keluarganya, satu usaha sebagai tanda kasih sayang yang dilakukannya sehingga akhir hayatnya pada usia 86 tahun. Mesin taip itu turut dipamerkan.

Selain pameran, terdapat stesen MRT di Singpuara yang dinamakan sempena komuniti Bugis - Bugis MRT Station. Nyata masyarakat Bugis mendapat pengiktirafan sewajarnya dan semestinya berbangga dengan warisan mereka.

Bagi saya, lawatan ke pameran itu memberi peluang terbaik untuk mempelajari mengenai sejarah masyarakat berkenaan dan membantu mengatasi sebarang salah tanggapan terhadap masyarakat Bugis di Malaysia.

- Bernama

Lihat Komen
ADS