Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
story images
story images

TINJAUAN | Suatu ketika dulu ia adalah pusat beli-belah terhebat dan menjadi kebanggaan ramai. Biasanya pada hujung minggu ia menjadi tempat tumpuan anak-anak muda kota raya.

Dinilai dengan mata hari ini bangunan itu ternyata tidak ada apa-apa. Ia sebuah binaan sederhana, setinggi empat tingkat dan terletak di salah satu persimpangan paling sibuk di wilayah Kuala Lumpur.

Namun dengan mata silam kompleks Ampang Park ialah Menara Berkembar Petronas pada awal 1970-an.

Sedikit demi sedikit kompleks itu ditenggelami dengan pelbagai bangunan pencakar langit. Menara berkembar itu sendiri terletak kira-kira 1km saja dari situ.

Selepas 44 tahun mencabar masa hayat Kompleks Ampang Park akan berakhir. Atau sekurang-kurangnya dalam tempoh terdekat ia akan menjadi bungkam.

Pasti rasa kehilangan

Bangunan empat tingkat itu mempunyai sejarahnya yang tersendiri. Ia merupakan pusat beli-belah pertama wujud di Kuala Lumpur iaitu pada 1973.

Pada 31 Dis ini operasinya akan ditamatkan. Puncanya - ia perlu memberi laluan kepada pembinaan projek Transit Aliran Massa (MRT).

Ampang Park itu akhirnya akan dirobohkan. Selain mengundang sayu kepada sesiapa yang pernah berkongsi pengalaman di situ, peniaga dan pemilik premis di dalam bangunan itu juga pasti akan terasa kehilangan.

Di sebalik bayangan pelbagai bangunan pencakar langit - seperti Avenue K dan Suria KLCC - Ampang Park sebenarnya masih tetap 'hidup'.

Masih ramai pengunjung datang sama ada untuk bersantai, membeli-belah, membuat urusan perbankan atau menjamu selera.

Hampir setahun peniaga-peniaga di pusat membeli-belah itu berjuang cuba menyelamatkan Ampang Park, namun terpaksa akur dengan keputusan mahkamah yang menolak rayuan 39 pemilik premis perniagaan dan penyewa yang memfailkan tindakan undang-undang.

Ia bagi membatalkan kelulusan merobohkan pusat membeli-belah itu.

Di tapak itu nanti akan dibina laluan pejalan kaki bawah tanah yang menghubungkan stesen MRT baru ke stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Ampang Park.

Berbaki kurang sepuluh hari sebelum ditutup, sebahagian peniaga pusat membeli belah itu sudah mengosongkan premis mereka malah ada di antara mereka telah pun meninggalkan Ampang Park bagi mencari rezeki di tempat lain.

Namun bagi peniaga yang masih gagal mencari tempat baru, mereka masih mengharapkan keajaiban - misalnya tetap diberi ruang untuk terus berniaga di situ.

Kelihatan juga kedai yang membuat jualan “selamat tinggal” bagi menghabiskan stok yang ada.

Belum sempat mengemas

Bagi peniaga barangan kraf, Jeniffer Lee, 55, berkata dia seakan tidak percaya terpaksa meninggalkan premis diwariskan datuknya sejak tiga generasi lalu.

Katanya, sejak Ampang Park dibuka, dia - ketika itu berusia enam tahun - sudah mula membantu datuknya menyusun barang-barang jualan, malah menyifatkan kedai itu sebagai rumah keduanya.

Katanya dia menerima notis daripada pihak pengurusan awal Disember lalu yang memberi arahan berpindah dalam masa sebulan.

Dengan tempoh sebegitu kata Lee, belum sempat dia mengemas barang-barang dalam kedainya kerana terlalu banyak.

“Saya sangat sedih sebab 1 Disember lalu pengurusan bagi sepucuk surat suruh keluar, saya langsung tak boleh tidur lena sampai sekarang sebab saya dah di sini 44 tahun.

"Barang-barang di kedai saya sangat banyak, tak tahu mana nak simpan, lagi pun saya belum cari tempat baru.

“Saya datang sini sejak hari pertama kompleks ini dibuka pada 1973. Saya kena keluar pada hari terakhir tahun ini. Saya memang tak nak keluar, saya sedih sangat,” katanya sambil mengekang air mata.

Sampai jadi nenek

Wanita itu turut mengenang kenangan lamanya ketika mula-mula memasuki premis itu.

Kata Lee suatu ketika dulu Ampang Park mempunyai ruangan permainan untuk kanak-kanak, disko dan panggung wayang.

“Bila ingat balik, saya sangat sedih. Sedih yang saya tak boleh nak ceritakan,” katanya.

Jelas Lee lagi, meskipun diarah berpindah namun dia belum mendapat pampasan seperti yang dijanjikan.

Peniaga barangan elektrik, Mah Su Ping (gambar), dia juga membuka perniagaan sejak bangunan itu dirasmikan Tun Abdul Razak Hussein.

Mengakui sangat sedih, kini dia menerima kenyataan Ampang Park tidak dapat dikembalikan seperti dulu.

“Kompleks ini ada saya sudah kerja sini. Kalau cakap saya sedih pun, tak boleh nak selamatkan Ampang Park.

"Saya mula kerja semasa belum kahwin, sekarang sudah jadi nenek. Dari rambut hitam sekarang dah putih,” katanya.

Mengimbau kenangan mula-mula memasuki premis itu, wanita itu mengakui bangga kerana mampu membeli kedai di pusat membeli belah pertama di Kuala Lumpur.

“Saya rasa bangga sebab saya boleh buka kedai di kompleks. Tapi kita bertahan di sini hampir 45 tahun sudah tentu kita rasa sayu di hati sebab kena tinggalkan tempat ini.

“Macam mana kita nak lahirkan perasaan kita, ia tak dapat ubah apa-apa. Tak dapat kembalikan Ampang Park. Tak ada sesiapa boleh bantu kami,” katanya yang menambah akan berpindah di lokasi tidak jauh dari situ tidak lama lagi.

Bagi pekerja sebuah kedai barangan sukan yang hanya mahu dikenali sebagai Awe, dia berkata Ampang Park memberikan banyak kenangan kepadanya kerana sudah berkhidmat selama 15 tahun di situ.

“Saya mula kerja sini sejak sebelum kahwin, sekarang anak sudah empat dan anak yang sulung berumur 14 tahun.

“Kedai ini akan berpindah pada 31 Disember ini. Pelanggan masih ada lagi, saya akan maklumkan pada pelanggan yang kami akan berpindah kerana kebanyakan mereka adalah pelanggan tetap," katanya yang kini berusia 42 tahun.

Menurut Awe ada kebimbangan padanya mengenai sambutan dan perjalanan perniagaan di tempat baru nanti.

Manakala bagi Pengurus Kawasan Dunkin' Donuts, Norizan Mansor, dia berkata kerjayanya bermula di kompleks itu pada 1995.

Ketika itu katanya dia diberi gaji bulanan RM750.

Wanita itu turut mengakui separuh usianya dihabiskan di Ampang Park kerana bekerja, dan dia mengenali Kuala Lumpur kerana kompleks itu.

“Tempat ini ada sentimental value, saya agak sensitif bila bercakap mengenai kompleks ini.

“Saya kenal kehidupan Kuala Lumpur bermula dari Ampang Park dan pasar raya Hankyu Jaya di Chow Kit,” katanya sayu.

Untuk sesiapa yang tidak perasan, kedai Dunkin' Donuts di Ampang Par itu sebenarnya masih mengekalkan papan tanda pertama ketika ia dibuka 20 tahun lalu.

Mengulas lanjut Norizan berkata ada beberapa sebab mengapa reka bentuk asal itu sengaja dikekalkan.

Pertama, katanya, kerana faktor modal yang tidak mengizinkan untuk ditukar, dan kedua dibiarkan untuk menyimpan kenangan tersendiri.

“Kami kekal dengan konsep lama, cuma ubah suai sikit-sikit.

"Kami memang pernah nak ubah tapi apabila tengok jualan mula turun, tak jadi tukar papan tanda baru. Nak buat modal pusingan kena ada pendapatan yang tinggi.

“Keuntungan Dunkin' Donuts di sini pernah mencecah RM50,000 sebulan, namun akhir-akhir ini hanya RM20,000 sahaja,” katanya.

Semua bangsa hidup harmoni

Sementara itu bagi pengunjung pusat beli-belah itu Mohamed Salleh, dia memang kecewa kerana tidak lama lagi Ampang Park hanya akan wujud dalam kenangan.

Katanya, kerajaan seharusnya mempertahankan bangunan lama supaya ada sejarah yang boleh diceritakan kepada generasi akan datang.

“Siapa yang lahir pada zaman saya, Ampang Park ialah pusat beli-belah pertama di Kuala Lumpur, bahkan mungkin di Malaysia.

"Kalau orang Kelantan datang Kuala Lumpur tapi tak datang sini, tak sahlah, tak lelap tidur.

"Di sini pusat pertemuan semua manusia - Melayu Cina, India. Sangat harmoni," katanya (gambar) yang kini berusia 52 tahun.

Menurut Mohamed orang ramai perlu menghargai sejarah dan mengenangnya untuk mengekalkan jati diri.

Tanpa sejarah, katanya, seseorang tidak akan mengenali diri sendiri.

Sejarah memainkan peranan besar. Sejarah adalah satu-satunya elemen yang membentuk jati diri. Saya boleh menangis bila bercakap soal ini,” katanya sebak.

Mohamed ditemui Malaysiakini yang secara kebetulan berkunjung bersama keluarganya untuk melihat Ampang Park bernafas pada saat-saat akhirnya.

Mengulas lanjut, pesara kerajaan itu berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak sepatutnya merobohkan legasi peninggalan ayahnya.

“Memang Najib robohkan legasi bapa dia sebab Ampang Park ini bapa dia yang rasmikan.

"Bagi saya kalau nak cakap dengan bahasa cantik, harap dia fikirlah. Hargai sejarah yang ada.

"Sebab sekarang ni ada orang anggap belajar sejarah tu perbuatan bodoh, tai sebenarnya sejarahlah yang membentuk kita, budaya kita,” katanya.

Beliau turut bimbang sekiranya banyak lagi mercu tanda negara akan musnah hanya kerana ketamakan mengejar pembangunan.

“Jangan rakus sangat nak pembangunan. Pastikan apa yang kita sebut sebagai mercu tanda kena kekalkan, jangan sampai anak-anak kita tak kenal sejarah,” katanya.

 

Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS