Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Baitulmuqaddis: M'sia akan suarakan bantahan di PBB - Najib
Diterbitkan:  Dec 20, 2017 11:32 PM
Dikemaskini: 10:39 PM

Malaysia akan menyuarakan pendirian tegasnya menolak pengisytiharan unilateral Amerika Syarikat berhubung isu Baitulmuqaddis di Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), kata Datuk Seri Najib Razak.

Perdana menteri berkata Malaysia menyokong usul Mesir yang menolak pengisytiharan unilateral Amerika Syarikat yang mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel.

“Walaupun kita bukan anggota Majlis Keselamatan PBB, tapi sebagai anggota PBB, kita berhak tunjukkan pendirian kita. Saya telah utarakan dengan tegas dan jelas bahawa isu ini kita tentang (bantah) dan ia bertentangan dengan resolusi Majlis Keselamatan sebelum ini.

“Ia juga merupakan sesuatu yang tidak boleh diputuskan secara unilateral, hanya melalui rundingan sahaja sebab hak rakyat Palestin tidak boleh diketepikan,” katanya dalam sidang media di Lapangan Terbang Antarabangsa Velana, Hulhule pada hari Rabu.

Perdana Menteri berada di Maldives untuk lawatan rasmi dua hari yang berakhir hari ini.

Beliau diminta mengulas laporan agensi berita Xinhua bahawa Perhimpunan Agung PBB akan mengadakan sidang tergempar khas pada Khamis selepas Amerika Syarikat menggunakan kuasa vetonya terhadap resolusi yang dicadangkan Mesir supaya negara kuasa besar itu menarik balik keputusannya.

Ditanya mengenai Himpunan Solidariti Selamatkan Baitulmuqaddis di Masjid Putra, Putrajaya pada Jumaat ini, perdana menteri berkata beliau menerima undangan untuk menghadiri perhimpunan itu bersama-sama dengan rakyat Malaysia.

“Saya terima undangan itu sebab saya nak tunjuk dalam isu ini, ia tidak terhad kepada kerajaan sahaja tapi seluruh masyarakat Islam Malaysia ingin menunjukkan bantahan kita terhadap pengisytiharan Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel,” kata beliau.

Terdahulu, semasa sidang berita bersama Presiden Maldives Abdulla Yameen Abdul Gayoom di Pejabat Presiden, Najib mengulangi bahawa Malaysia menolak sama sekali langkah menjadikan Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel.

Abdulla Yameen pula berkata beliau dan Najib saling bertukar pandangan mengenai keadaan di Palestin dan di negeri Rakhine, Myanmar yang melibatkan Muslim Rohingya serta bersetuju untuk bekerjasama lebih erat berhubung isu-isu tersebut.

Mengenai isu Rohingya, Najib berkata beliau memberitahu Abdulla Yameen bahawa Malaysia melakukan segala yang mungkin untuk meringankan penderitaan pelarian Rohingya.

"Pendirian kami amat jelas bahawa sesuatu yang positif perlu dilakukan untuk memastikan ketidakadilan dan penganiayaan terhadap Rohingya dihentikan. Mereka sepatutnya dibenarkan kembali ke kediaman mereka," kata beliau.

Najib berkata Malaysia belum lagi melihat sebarang hasil positif selepas Myanmar berkongsi komitmennya dengan Malaysia untuk menyelesaikan isu Rohingya.

Beliau berkata Malaysia dan Maldives turut berkongsi pendirian sama berhubung usaha memerangi ekstremisme ganas terutamanya ‘ideologi jahat IS (Negara Islam) dan Daesh’.

“Saya telah menjelaskan kepada presiden (Maldives) tentang beberapa langkah awal yang kami perkenalkan di Malaysia. Walaupun begitu, ancamannya masih ada dan ia merupakan bahaya yang amat nyata bagi Malaysia dan seluruh dunia," kata beliau.

Kedua-dua pemimpin itu turut mengesahkan komitmen mereka untuk memerangi keganasan dan menggandakan usaha bersama mereka menentang ancaman keganasan dalam semua bentuk dan manifestasi yang mengancam dunia.

Selain itu, Najib dan Abdulla Yameen membincangkan isu-isu kepentingan antarabangsa dan serantau termasuk mengenai perubahan iklim dan pembangunan lestari.

"Kami (Malaysia) sangat bersimpati dan berasa empati dengan keadaan negara-negara pulau termasuk Maldives kerana jika kita tidak melakukan apa-apa berhubung perubahan iklim, maka, negara-negara pulau pasti akan terjejas teruk," kata Najib.

- Bernama

Lihat Komen
ADS