Paling Popular
Terkini

PULASAN l Satu blok bangunan setingkat dengan sebahagian besar daripadanya dibina dengan papan atau kayu. Di situlah terletak enam kelas dengan masing-masing untuk pelajar tahun satu hingga enam.

Di bawah bumbung yang sama itu juga ditempatkan pejabat, bilik guru dan pusat sumber. Gurunya mungkin hanya lima atau enam orang.

Kantin? Ada, tapi cuma satu gerak kayu yang diletakkan tidak jauh dari pintu bilik guru itu. Ia dikendalikan isteri tukang kebun sekolah.

Setiap hari hidangannya sangat sederhana. Ia sebuah sekolah rendah jenis kebangsaan Tamil di sebuah ladang yang terletak di sempadan Selangor dan Perak.

Tidak jauh dari situ ada sekolah rendah dan menengah kebangsaan. Ada kuarters menempatkan guru dan kakitangan sekolah. Sebuah bangunan kayu yang lain pula menjadi masjid.

Ia dalam kawasan ladang kelapa sawit di Sungai Samak, Perak. Untuk laluan mudah dan selesa, perjalanan ke situ perlu melalui Sabak Bernam - yang berada dalam kawasan Selangor - dan menaiki bot melintasi sebatang sungai dan kembali menjejak kaki ke kawasan ladang itu di wilayah Perak.

Mungkin tidak ada sesiapa pun yang masih mengingati seorang remaja yang menunggu keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan menjadi cikgu sementara di sekolah rendah jenis kebangsaan Tamil itu sekarang.

Cikgu Suraya, cikgu suka main bola

Dalam sejarah negara ini ada ramai cikgu dan suatu ketika dulu golongan itulah yang berjasa besar untuk bangsa dan tanah air. Cikgu - selain ulama, penulis dan wartawan - adalah orang yang menanamkan kesedaran terhadap mustahaknya merdeka.

Cikgu dan golongan agama juga menyebarkan semangat nasionalisme sehingga memungkinkan rakyat 'dihasut' untuk bangkit membebaskan diri daripada penjajah.

Ketika satu pihak terus berbangga dengan slogan "Hidup Melayu" cikgu, ulama, penulis dan wartawan memahamkan makna "merdeka".

Uniknya kerjaya cikgu ini, gelaran itu boleh dikatakan melekat seumur hidup. Seseorang cikgu yang pencen tetap dipanggil cikgu oleh masyarakat. Ia adalah tanda hormat yang tinggi.

Namun tidak ramai cikgu yang dikenali. Salah seorang yang paling dikenali ialah Cikgu Shaari yang licik serba-serbi.

Misalnya dalam contoh yang klasik Cikgu Shaari menulis di papan hitam: "Che gu suka main bola, hari2 che gu main bola" dan menugaskan semua anak murid di dalam kelasnya membaca ayat berkenaan.

Keadaan adalah terkawal sejak Nordin bin Hanafi memulakan tugasan itu sehinggalah giliran pelajar yang ke-13.

"Cikgu suka main bola, hari-hari cikgu..... tidur! Cikgu sudah tidur, mari kita main!" katanya.

Nasib Cikgu Shaari cuma menjadi malang apabila Cikgu Mohd Basar Muhammad masuk ke kelas itu dan melihat sendiri orang bawahannya tertidur di meja.

Dan ia adalah kali keenam Cikgu Shaari tidur di dalam kelas!

Mungkin silap Cikgu Shaari ialah dia bekerja sambilan di kelab malam.

"Ia adalah satu kesalahan, kerana sebagai kakitangan kerajaan kita tak boleh berbuat demikian," kata guru besar, Cikgu Mohd Basar.

Silap Cikgu Shaari juga ialah dia membuat dua pekerjaan pada 1965. Jika dia melakukan kerja kedua di luar waktu sekolah - misalnya pada 2015 - tentulah tidak ada masalah sangat. 1

Malah ada ahli politik yang menjadi kakitangan kerajaan sendiri melakukan tiga pekerjaan serentak demi "rezeki yang halal".

Seorang lagi cikgu yang dikenali ramai ialah Cikgu Suraya. Namanya tiba-tiba menjadi bualan tidak lama dulu.

Cikgu Suraya ialah seorang pendidik yang luar biasa. Dia menjalankan tugasnya melangkaui sempadan pagar sekolah. Secara mudah bolehlah dikatakan Cikgu Suraya itu mempunyai daya tarikan yang istimewa, sekali gus memiliki imaginasi yang berseni.

Ia bukanlah susuk Cikgu Suraya yang dikhayalkan, tetapi seorang cikgu Suraya sebenar yang gigih membantu anak muridnya sehingga berjaya dalam akademik.

Murid naik tocang

Dia - seorang cikgu matematik dan lukisan kejuruteraan - menghulurkan tangan untuk menarik seorang pelajar keluar dari 'kegelapan' dan tinggal bersama-samanya.

Dengan membantu seorang budak yang dibuang sekolah Cikgu Suraya Abdul Rahim mengharumkan bukan saja namanya secara peribadi dan sekolahnya, malah menyemarakkan kerjaya perguruan.

Dan beberapa hari lalu orang ramai bercakap mengenai Cikgu Azizan. Daripada hanya dikenali kerabat guru setempat dan sanak-saudara tiba-tiba nama Cikgu Azizan menjadi terkenal.

Isu antara dia dan pelajar serta undang-undang, biarlah. Tapi selepas dilepaskan daripada tuduhan itu antara harapan dilafazkan Cikgu Azizan Manap ialah supaya kerjaya perguruan dimartabatkan semula.

Ia bolehlah dikira doa dan harapan yang jujur dan murni. Ketika tekanan kos sara hidup semakin menghimpit, beban tugas di sekolah juga tidak kurang mencabarnya.

Mendidik anak watan ialah kerja mulia. Tapi bersama kemuliaan itu ialah dilema. Bersikap terlalu tegas dan keras ialah membuka laluan dibenci, disumpah atau diseranah. Berlembut pula memungkinkan anak murid naik tocang.

Keputusan peperiksaan tidak membanggakan adalah menempah susah secara kolektif, kerana lazimnya pencapaian cemerlang sesebuah sekolah bukan saja menjadi indikator maruah seorang pengetua, malah turut melibatkan pegawai pendidikan daerah, pengaraj jabatan pendidikan, ketua setiausaha, timbalan menteri dan menteri sendiri.

Siapa boleh melupakan bahawa suatu ketika dulu pengumuman keputusan peperiksaan awam adalah hari yang sangat pentig untuk seseorang menteri pendidikan berpakaian sesegak mungkin untuk menghadapi lensa kamera wartawan.

Gaya bercakap kena ada, gaya menjawab soalan media kena meyakinkan.

Pada masa tertentu cikgu juga ialah petugas yang memaknakan demokrasi. Ketika sekolah-sekolah menjadi pusat pembuangan undi cikgu-cikgu pula menjadi petugas Suruhanjaya Pilihan Raya yang berkhidmat penuh taat.

Cikgu juga adalah pelaksana yang tidak boleh tidak mengikut kehendak orang yang berkuasa secara tersirat. Kegagalan mengikut arus misalnya memungkinkan mereka ditukar ke tempat-tempat yang jauh daripada keluarga, atau terpencil.

Dalam bahasa mudah, kerjaya cikgu mempunyai kesan berantai yang meluas. Analogi baginya ialah satu rantaian panjang yang bermula dari pintu pagar sekolah sehingga ke meja menteri. Di antaranya ada pengetua yang mahu memastikan pejabat pendidikan tidak merungut.

Turut berada dalam rantaian itu ialah pegawai-pegawai pendidikan yang sesetengahnya mempunyai jawatan dalam parti politik.

Sesekali apabila ada majlis tertentu, pengetua juga perlu bertemu wakil rakyat untuk menjadi perasmi acara. Ia semacam suatu resmi.

Siapa pergunakan cikgu

Dan berlangsunglah sesuatu majlis yang sepatutnya boleh diselesaikan dengan pantas dan mudah, menjadi meleret-leret dengan ucapan yang saling memuji dan berkias. Biasanya untuk mendapatkan bantuan atau peruntukan.

Cikgu adalah manusia biasa. Pelajar juga manusia biasa. Tetapi pernahkah kita terfikir seseorang guru - yang dulu besar benar jasanya memahamkan makna nasionalisme, kemerdekaan dan hinanya penjajahan - kini terpaksa pula bergelut dengan pelbagai masalah yang menyesakkan dada?

Mungkin tidak ada lagi watak seperti Cikgu Shaari yang bekerja di kelab malam. Tetapi siapa dapat menafikan di sebalik gah nama Cikgu Suraya ada ribuan warga pendidik terpaksa ke sana-sini menjadi jurujual sambilan?

Ada juga yang menjadi laskar papan kekunci. Khabarnya mereka dibayar mengikut jumlah komen, kemas kini status atau reaksi yang diterima.

Ketika yang sama mereka seakan-akan tidak boleh gagal mendidik - dalam erti kata lain - peratusan kelulusan peperiksaan wajib tinggi. Mereka boleh berpolitik tetapi hakikatnya politik yang dibenarkan adalah yang sealiran dengan penguasa.

Artis yang bersuara tidak menyenangkan sebahagian orang, dan pegawai pemerintah akan segera melabel golongan terbabit dipergunakan pembangkang.

Tetapi siapa gamaknya yang lebih banyak mempergunakan cikgu?


AL-ABROR MOHD YUSUF ialah wartawan Malaysiakini.

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS