Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
DAP: Pendaftar Pemilih SPR tolak hansard parlimen sebagai bukti
Diterbitkan:  Dec 21, 2017 5:11 PM
Dikemaskini: 9:22 AM

DAP mendakwa Pendaftar Pemilih Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menolak hansard Parlimen sebagai bukti semasa pendengaran mengenai daftar pemilih awal bulan ini.

Hansard itu dikemukakan salah seorang pemohon yang membantah pendaftaran anggota tentera dan pasangan mereka sebagai pengundi baru di kerusi Parlimen Segamat di Johor.

Menurut Setiausaha Biro Undang-undang DAP, Michelle Ng, SPR berkata hansard yang dikemukakan oleh pemohon "tidak boleh dipercayai".

"Hansard ini (mengandungi) bahagian prosiding parlimen di mana timbalan menteri pertahanan mengaku bahawa pembinaan kem tentera Segamat belum siap," katanya pada sidang akhbar di Kuala Lumpur hari ini.

Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohd Johari Baharum pada 28 November mempertahankan kewujudan 1,051 pengundi tentera di kem Segamat, yang masih dalam pembinaan.

Hansard parlimen merupakan dokumen rasmi yang mengandungi catatan perbahasan semasa persidangan Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

Sementara itu, Ng mendakwa selepas hansard ditolak, Pendaftar Pemilih SPR memberitahu pemohon untuk membawa timbalan menteri sebagai saksi kerana keterangannya akan digunakan sebagai alasan untuk membantah pengundi baru.

Bagaimanapun beliau mendakwa Pendaftar Pemilih SPR enggan menangguhkan prosiding agar pemohon memanggil timbalan menteri berkenaan.

Ng mendakwa ini adalah salah satu daripada beberapa contoh di mana pendengaran terbuka yang dijalankan pada 4 hingga 10 Disember, dilakukan secara tidak adil.

Bagaimanapun, beliau mendakwa Pendaftar Pemilih SPR bersedia menangguhkan prosiding untuk membolehkan seorang kapten tentera mendapatkan senarai lengkap nama 20 pengundi yang dibantah.

Pemohon dinafi khidmat penterjemah BM

Ng juga mendakwa permohonan pemohon yang tidak fasih dalam Bahasa Melayu untuk menggunakan khidmat penterjemah ditolak.

Mereka juga katanya mengangkat sumpah dalam bahasa Melayu walaupun tidak memahami apa yang diperkatakan.

"Ketiadaan penterjemah juga bermakna beberapa pemohon tidak dapat memahami apa yang sedang berlaku dalam perbicaraan dan tidak dapat menyampaikan sebab mereka membuat bantahan," katanya.

Ng berkata semua bantahan yang dibuat oleh seramai 48 pemohon di Segamat ditolak.

Pembangkang mendakwa kerajaan sedang membina kem tentera di seluruh negara bagi meningkatkan jumlah undi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 yang akan datang.

Kerajaan bagaimanapun menafikan dakwaan itu.

Pada pilihan raya umum lepas, presiden MIC Datuk Seri Dr S Subramaniam memenangi kerusi Parlimen Segamat dengan majoriti 1,217 undi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS